Banduan 24 Tahun Raih PhD, Hajiji Sifatkan Kisah Dr. Malik Inspirasi Kebangkitan...

Banduan 24 Tahun Raih PhD, Hajiji Sifatkan Kisah Dr. Malik Inspirasi Kebangkitan Hidup

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan perjalanan hidup Dr Malik Yatam sebagai bukti bahawa masa lalu seseorang bukan penentu mutlak masa depan, sebaliknya pendidikan mampu menjadi jalan perubahan dan peluang kedua dalam kehidupan.

Hajiji berkata, anak kelahiran Kota Marudu itu berjaya membuktikan bahawa ketabahan, keazaman dan kesungguhan menuntut ilmu mampu mengubah kehidupan walaupun pernah melalui episod hitam sehingga menjalani hukuman penjara selama 24 tahun.

“Perjalanan hidup Dr. Malik Yatam membuktikan bahawa masa lalu tidak semestinya menentukan masa depan seseorang.

“Daripada seorang remaja yang berdepan kehidupan penuh cabaran sehingga menjalani hukuman penjara selama 24 tahun, beliau memilih untuk bangkit mengubah kehidupan melalui pendidikan dan ilmu pengetahuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Menurut Hajiji, dengan ketabahan luar biasa, Dr Malik berjaya melanjutkan pengajian bermula daripada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pendidikan bukan sahaja mampu mengubah nasib seseorang, malah membuka ruang untuk membina kehidupan lebih baik.

“Apa yang lebih menyentuh hati apabila beliau berkongsi bahawa kebebasan sebenar bukan sekadar keluar dari penjara secara fizikal, tetapi bebas daripada kejahilan dan mampu memberi manfaat kepada orang lain melalui ilmu yang dimiliki,” katanya.

Hajiji turut berharap kisah Dr Malik terus menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda, agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar masa depan yang lebih baik.

“Semoga kisah Dr Malik terus menjadi inspirasi kepada kita semua, khususnya generasi muda, bahawa selagi ada usaha, doa dan kesungguhan, masa depan sentiasa boleh diubah menjadi lebih baik,” katanya.