Bangkai Ternakan Dalam Sungai Jejas Kesihatan dan Bekalan Air Sabah

Bangkai Ternakan Dalam Sungai Jejas Kesihatan dan Bekalan Air Sabah

0
SHARE

TUARAN: Pembuangan bangkai ternakan ke dalam sungai merupakan ancaman serius kepada kesihatan awam, keselamatan makanan dan bekalan air Sabah, kata Pengerusi Kempen Kesedaran Awam Anti-Pencemaran Sungai Sabah, Simon Malubi.

Beliau berkata kejadian bangkai terapung di sungai yang digunakan untuk pertanian dan kegunaan harian menunjukkan masih ada pihak mengutamakan keuntungan berbanding perlindungan sumber air.

“Sungai bukan tempat pembuangan sampah, apatah lagi untuk melupuskan bangkai haiwan,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu boleh mencemarkan air, menyebarkan bakteria berbahaya, meningkatkan paras ammonia serta menjejaskan kesihatan manusia, ternakan dan tanaman, terutama golongan petani kecil, nelayan dan penduduk luar bandar.

Simon turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan hasil pertanian tidak bermakna jika sumber air terus tercemar.

“Bagaimana petani boleh menghasilkan makanan selamat jika sungai dicemari bangkai haiwan dan sisa kumbahan?” katanya.

Beliau menggesa siasatan segera, pemantauan berkala, ujian kualiti air, pendakwaan serta hukuman lebih tegas terhadap pesalah, sambil menegaskan tindakan ringan hanya akan menggalakkan kesalahan berulang.

“Keselamatan air bukan isu kecil… jika sungai terus tercemar, rakyat akan menanggung kesan dari segi kesihatan, ekonomi dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan pensijilan Sumber Air Bersih dan Selamat bagi kawasan pertanian untuk melindungi pengguna serta membantu petani mendapatkan pensijilan seperti MYGAP dan MyOrganic.