HENTIKAN TUNDA ATAU SAMAN KENDERAAN ORANG AWAM PADA WAKTU MALAM DI BANDARAYA...

HENTIKAN TUNDA ATAU SAMAN KENDERAAN ORANG AWAM PADA WAKTU MALAM DI BANDARAYA KOTA KINABALU ATAU BERDEPAN DEMO AMAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) memberi amaran keras kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar menghentikan segera tindakan tunda dan saman terhadap kenderaan orang awam di sekitar bandar raya ini pada waktu malam.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam yang mendakwa kenderaan mereka ditunda serta disaman walaupun tidak mengganggu lalu lintas atau pengguna jalan raya lain.

Menurut beliau, tindakan tersebut menimbulkan kemarahan rakyat terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.

“Orang ramai terpaksa parkir di lokasi tertentu kerana DBKK sendiri gagal menyediakan kawasan parkir awam yang mencukupi untuk kegunaan rakyat di bandar raya ini.

“Dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, DBKK sepatutnya menggunakan pendekatan lebih berhemah seperti memberi peringatan terlebih dahulu dan bukannya terus mengeluarkan saman atau menunda kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa terdapat aduan orang awam dikenakan saman pada hari Ahad ketika mengunjungi pasar tamu di sekitar Kota Kinabalu.

Datuk Zulkarnain turut mempersoalkan tindakan penguatkuasaan DBKK yang didakwa masih berjalan sehingga malam walaupun kebanyakan kenderaan yang diparkir tidak menghalang lalu lintas.

Menurut beliau, isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kekurangan kawasan parkir awam yang mencukupi di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sehingga menyebabkan orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan di lokasi tertentu.

“Bukannya rakyat sengaja mahu melanggar peraturan, tetapi ramai yang tiada pilihan kerana kekurangan parkir awam yang mencukupi.

“DBKK sepatutnya mencari penyelesaian lebih praktikal dan mesra rakyat terlebih dahulu sebelum terus mengambil tindakan saman atau tunda,” katanya.

“Tindakan saman pada waktu malam dan hari Ahad jarang berlaku di bandar raya utama lain di Malaysia, termasuk di kawasan sibuk seperti sekitar Masjid India, Kuala Lumpur, kecuali pada keadaan tertentu.

“Namun di Kota Kinabalu, tindakan seperti saman dan tunda dilihat berlaku secara berterusan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat,” katanya.

Tambahnya, hasil pemantauan mendapati kebanyakan kenderaan yang dikenakan tindakan tidak menghalang laluan atau menjejaskan trafik.

Datuk Zulkarnain berkata, peringatan keras itu turut ditujukan khusus kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar segera menilai semula pendekatan penguatkuasaan terhadap orang awam di bandar raya ini.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa G57 akan menggerakkan demo aman di hadapan bangunan DBKK dalam masa terdekat sekiranya tindakan tersebut terus dilakukan tanpa mempertimbangkan kesusahan rakyat.

“Rakyat bukan mesin duit,” tegasnya.

SHARE
Previous articleNilai Potensi Jualan Produk Sabah Cecah RM95.9 Juta
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.