Lelaki Maut Tersepit, Myvi Dipandu Terbabas Masuk Longkang di Keningau

Lelaki Maut Tersepit, Myvi Dipandu Terbabas Masuk Longkang di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Seorang lelaki ditemukan maut selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dipandunya terbabas ke dalam longkang konkrit dalam kejadian di hadapan Stesen Minyak Shell Pekan Keningau pada pagi Selasa.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 pagi sebelum jentera FRT dan EMRS bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya jentera di lokasi, pasukan bomba mendapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang terbabas ke dalam longkang konkrit.

“Terdapat seorang mangsa lelaki terperangkap di dalam kenderaan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Komander Operasi, PBK I Norhasrita kemudian melakukan ‘size-up’ bagi menilai risiko, teknik penyelamatan dan keperluan logistik sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

Menurut kenyataan itu, prosedur ‘vehicle stabilization’ dilaksanakan bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat sepanjang operasi.

“Mengambil kira posisi kenderaan, ‘chocking’ diaplikasikan pada tayar.

“Kabel ‘winch’ daripada jentera FRT digunakan sebagai ‘anchoring’ untuk menahan kenderaan daripada bergerak, manakala lori penunda yang berada di lokasi membantu menarik sedikit kenderaan tersebut bagi memberikan ruang yang lebih baik kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Pasukan bomba kemudian membuka laluan akses melalui ruang cermin kenderaan bagi membolehkan pemeriksaan dan penstabilan mangsa dilakukan.

Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan dari Hospital Keningau mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil sedikit masa berikutan keadaan ruang yang sempit serta faktor fizikal mangsa yang berbadan besar.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diangkat dengan cermat menggunakan ‘scoop stretcher’ sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.48 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, pihak bomba turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika memandu terutama menjelang kemuncak sambutan Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei ini.

“Perjalanan kita di jalan raya sentiasa menyimpan pelbagai kemungkinan. Berwaspadalah sentiasa, peka dengan keadaan sekeliling serta tahap kesihatan diri sebelum memulakan pemanduan.

“Rancang perjalanan sebaiknya dan berehatlah sekiranya fizikal tidak mengizinkan. Biar kepulangan kita nanti disambut dengan senyuman dan kemeriahan keluarga, bukannya khabar duka,” menurut kenyataan itu.