Subsidi Petrol Bersasar Perlu Dilaksana Segera Demi Kestabilan Fiskal Negara

Subsidi Petrol Bersasar Perlu Dilaksana Segera Demi Kestabilan Fiskal Negara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi petrol bersasar khususnya melibatkan golongan berpendapatan tinggi perlu disegerakan bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Felo Penyelidik Pusat Pembangunan dan Perancangan Ekonomi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah, Profesor Dr. Caroline Geetha B. Arokiadasan berkata, pendekatan subsidi menyeluruh yang diamalkan selama ini tidak lagi sesuai diteruskan dalam jangka panjang berikutan peningkatan perbelanjaan kerajaan serta tekanan ekonomi global.

Menurut beliau, subsidi pada asasnya bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat selain meningkatkan kebajikan pengguna dan pengeluar, namun pelaksanaannya ketika ini perlu lebih bersasar mengikut kategori pendapatan rakyat.

“Pengubahsuaian perlu dilakukan kerana keadaan ekonomi semasa menuntut kerajaan melaksanakan perbelanjaan secara lebih berhemah dan bersasar.

Fokus utama ketika ini bukan lagi sama ada subsidi perlu diberikan atau tidak, sebaliknya menentukan kumpulan yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, golongan T20 dikenal pasti menggunakan hampir 40 hingga 50 peratus subsidi petrol negara sekali gus memberi tekanan besar terhadap perbelanjaan kerajaan.

Menurutnya, pelaksanaan sistem kuota atau tier pricing system mampu membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan selain memperkukuh kedudukan fiskal negara ke arah lebih lestari.

Geetha berkata, antara cabaran utama pelaksanaan subsidi bersasar ialah memastikan data pendapatan rakyat sentiasa tepat dan dikemas kini bagi mengelakkan keciciran penerima yang layak.

“Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pengagihan subsidi yang telus, berintegriti dan mempunyai tahap akauntabiliti tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengangkutan awam supaya rakyat mempunyai alternatif selain penggunaan kenderaan persendirian.

Mengulas kesan reformasi subsidi terhadap kos sara hidup rakyat, beliau berkata perubahan dasar ekonomi lazimnya akan mewujudkan kejutan awal sebelum keadaan kembali stabil apabila rakyat mula menyesuaikan diri.

“Pada peringkat awal memang wujud ketidakseimbangan kerana rakyat perlu keluar daripada zon selesa, namun akhirnya masyarakat akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, reformasi subsidi yang lebih tepat juga dapat mengelakkan kerajaan daripada terus meningkatkan cukai atau menambah hutang negara bagi menampung perbelanjaan semasa.

Katanya, peningkatan hutang kerajaan bukan sahaja memberi implikasi besar kepada generasi masa depan, malah boleh mengurangkan keupayaan negara menyalurkan dana kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.

“Pelaksanaan subsidi bersasar juga mampu mengubah pola penggunaan rakyat ke arah lebih berhemah termasuk amalan berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan perjalanan tidak perlu.

“Reformasi subsidi merupakan langkah yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kelestarian kewangan negara serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya.