KOTA KINABALU: Penganjuran Kejohanan Bola Sepak 12TKB MSSD Kota Kinabalu Peringkat OK9 Tanjung Aru Tahun 2026 disifatkan sebagai platform penting dalam mencungkil bakat murid selain memperkukuh pembangunan sahsiah, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pembangunan bakat murid melalui sukan merupakan antara fokus utama dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Menurut beliau, program sukan seperti kejohanan bola sepak bukan sahaja memberi ruang kepada murid menyerlahkan bakat, malah menjadi medium penting dalam pembangunan kokurikulum secara menyeluruh.
“Hari ini adalah pertandingan bola sepak bawah 12 tahun. Ini satu penganjuran yang sangat baik dan kita dapat melihat bakat pelajar-pelajar yang bermain pada hari ini.
“Inilah tempatnya untuk kita menggilap bakat pelajar-pelajar kita. Ini antara sukan yang perlu diketengahkan dalam pembangunan pendidikan, termasuk dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberi fokus kepada pembangunan dan pemerkasaan bakat murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak 12TKB MSSD Kota Kinabalu Peringkat OK9 Tanjung Aru Tahun 2026, hari ini.
Beliau berkata, kejohanan seumpama itu amat penting sebagai platform kepada pelajar untuk berkembang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum dan sukan.
“Program sebegini sangat menyokong Rancangan Pendidikan Malaysia dan menjadi platform kepada pelajar-pelajar bukan hanya dari segi pembelajaran tetapi juga dalam aspek kokurikulum. Kita sangat menyokong dan menggalakkan pelajar untuk aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohammad Arif turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya SK Pulau Gaya selaku pengelola kejohanan serta semua sekolah OK9 Tanjung Aru yang terlibat menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menghargai sokongan ibu bapa yang hadir memberi semangat kepada anak-anak sepanjang kejohanan berlangsung.
“Sokongan seperti inilah yang kita harapkan daripada semua ibu bapa dan ini membuktikan mereka amat prihatin terhadap aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah untuk anak-anak,” katanya.
Menurut beliau, kejohanan itu bukan sekadar bertujuan mencungkil bakat murid dalam sukan bola sepak, malah menjadi medan membentuk nilai kepimpinan, disiplin dan semangat persaudaraan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang.
“Saya amat berbangga dengan kesungguhan dan semangat juang semua pemain. Menang atau kalah bukan ukuran mutlak, sebaliknya pengalaman, keberanian dan nilai persaudaraan yang disemai adalah kejayaan sebenar,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya serta meminta pasukan lain supaya tidak berputus asa dan terus berusaha meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada guru pengiring, jurulatih, pengadil, urus setia dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan berkenaan.






