POIC-MOSTI Teroka Pelaburan Teknologi Tinggi, Lahad Datu Disasar Jadi Hab Industri Sabah

POIC-MOSTI Teroka Pelaburan Teknologi Tinggi, Lahad Datu Disasar Jadi Hab Industri Sabah

0
SHARE

LAHAD DATU: POIC Sabah Sdn Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneroka kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan industri berteknologi tinggi di POIC Lahad Datu sekali gus menjadikan daerah itu sebagai hab industri dan inovasi utama di Sabah.

Perbincangan strategik yang berlangsung pada Jumaat itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekosistem pelaburan serta membangunkan industri bernilai tinggi di Pantai Timur Sabah.

Pengerusi POIC Sabah, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, cadangan kerjasama melibatkan pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pembangunan teknologi, bioekonomi, tenaga hijau, inovasi industri dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, antara cadangan dibincangkan ialah penglibatan beberapa agensi di bawah MOSTI seperti NanoMalaysia Berhad, Bioeconomy Corporation dan BioNexus dalam memacu pembangunan industri di POIC Lahad Datu.

“Kerjasama ini berpotensi membuka lebih banyak peluang pelaburan berteknologi tinggi, memperkukuh pembangunan industri hiliran serta meletakkan Lahad Datu sebagai hab industri dan inovasi utama di Sabah.

Ia juga mampu menarik lebih ramai pelabur domestik dan antarabangsa ke POIC selain mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pembangunan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama delegasi MOSTI yang diketuai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam.

Yusof dalam pada itu menyambut baik cadangan kerjasama berkenaan dan menegaskan komitmen MOSTI untuk terus memperkukuh rangkaian kerjasama bersama pemain industri serta agensi pembangunan di Sabah.

“MOSTI sentiasa terbuka untuk memperkukuh jaringan kerjasama bagi memastikan agenda inovasi dan teknologi negara dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Lahad Datu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat perindustrian moden dan berdaya saing dengan sokongan kemudahan strategik pelabuhan serta infrastruktur industri POIC.

Turut hadir ADUN Segama, Muhammad Abdul Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Fredian Gan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Lynette J Hoo.

Dalam sesi berkenaan, NanoMalaysia Berhad turut menyampaikan taklimat khas mengenai potensi nanoteknologi dan inovasi industri dalam memperkukuh sektor perindustrian serta ekonomi hijau Sabah.