KUNDASANG: Kerajaan bersetuju memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaan jenis jip dan pikap untuk sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun ini, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan kawasan Cameron Highlands.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu sebagai sebahagian langkah penambahbaikan mekanisme penyaluran subsidi diesel melalui SKDS.
Beliau berkata, syarikat dalam sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap kini boleh membuat pendaftaran SKDS di seluruh negara bermula 1 Jun depan.
“Kerajaan bersetuju memperluaskan kelayakan bagi kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS untuk sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.
“Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai pengusaha sektor pengangkutan darat barangan yang layak dapat menikmati subsidi diesel secara bersasar,” katanya pada sidang media Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi di Kundasang, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan turut memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada pengguna kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu bagi tujuan pengangkutan darat barangan.
Katanya, kelayakan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat pemindahan pendaftaran kenderaan daripada individu kepada syarikat yang berdaftar.
“Pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak mengikut undang-undang negeri,” katanya.
Beliau berkata, pemohon juga perlu memenuhi syarat lain termasuk proses pemindahan hak milik kenderaan kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani kesan krisis tenaga serta bekalan global terhadap rakyat.
Katanya, di bawah kawal selia KPDN, kerajaan memutuskan untuk meneruskan penyaluran subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS bagi membantu sektor berkaitan.
Sehingga 20 Mei 2026, katanya, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menerima manfaat melalui SKPS manakala 160,527 syarikat membabitkan 393,678 kenderaan menerima manfaat melalui SKDS,” katanya.






