TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menyerahkan sebanyak 29 ekor lembu korban kepada masjid, surau dan institusi pendidikan agama dalam kawasan DUN Melalap sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 27 ekor diperuntukkan kepada masjid dan surau, manakala dua ekor lagi diserahkan kepada Madrasah Tahfiz Nur Aisyah dan Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah.
“Hari ini, syukur alhamdulillah, kita telah menyampaikan 29 ekor lembu korban kepada pengerusi-pengerusi masjid dan surau dalam DUN Melalap, dengan 27 ekor untuk masjid dan surau serta dua ekor lagi kepada madrasah,” katanya pada Program Serahan Binatang Korban 2026 di Surau Al Falah Kampung Bunut, Tenom pada Sabtu.
Menurut Jamawi, program sumbangan korban itu telah dilaksanakan sejak tahun 2003 dan diharap dapat terus mengimarahkan sambutan Aidiladha selain membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan ibadah korban.
“Kita mengharapkan ia dapat mengimarahkan lagi sambutan Aidiladha tahun ini, di samping membantu mereka yang kurang mampu untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian daripada daging korban itu turut diagihkan kepada golongan fakir miskin dan asnaf di kawasan berkenaan bagi membantu meringankan beban mereka.
“Sebahagian daging korban ini akan disumbangkan kepada fakir miskin dan golongan asnaf, mudah-mudahan dengan niat ini kita dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Katanya, sumbangan tersebut membolehkan lebih banyak masjid dan surau di kawasan itu bersama-sama meraikan Aidiladha dalam suasana penuh kegembiraan serta semangat kebersamaan.
Terdahulu, Jamawi turut memantau situasi pasca banjir di Taman Bahagia selain meninjau kerosakan jalan akibat penggunaan lori besar di Kampung Mandalom Lama dan Kampung Bulun.
Beliau turut mengarahkan kontraktor berkaitan supaya melaksanakan kerja pembaikan jalan dengan segera.






