Tun Musa Seru Rakyat Perkukuh Perpaduan Sempena Aidiladha

Tun Musa Seru Rakyat Perkukuh Perpaduan Sempena Aidiladha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru rakyat negeri ini agar memperkukuh perpaduan, saling menghormati dan memupuk nilai kasih sayang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026.

Beliau berkata, rakyat perlu mengetepikan perbezaan dan mengamalkan semangat kerjasama bagi memastikan keharmonian yang sekian lama dikecapi terus terpelihara, sekali gus menjamin kestabilan dan kemajuan negeri.

Menurutnya, Aidiladha mengingatkan umat Islam terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dengan menegaskan bahawa pengorbanan bukan hanya melalui ibadah korban, tetapi juga melibatkan masa, tenaga dan usaha untuk keluarga, masyarakat serta negara.

Musa turut menggalakkan rakyat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan melalui amalan ziarah, bermaafan serta membantu golongan memerlukan, selaras dengan nilai masyarakat penyayang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, penjawat awam dan pasukan keselamatan, selain mendoakan jemaah haji agar dipermudahkan urusan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan, khususnya ketika pulang ke kampung.

Musa dan isteri turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam, dengan harapan sambutan kali ini membawa keamanan, perpaduan dan keberkatan.