KUCHING, SARAWAK – Kerajaan negeri Sarawak menerusi Jabatan Veteriner mengambil langkah kawalan segera bagi menghalang penyebaran virus ‘rabies’ atau penyakit ‘anjing gila’ ke lain-lain kawasan di negeri tersebut.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata virus ini disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas menerima laporan kes daripada Jabatan Kesihatan.
Sehubungan itu, Jabatan Veterinar memberi fokus bagaimana untuk mengawal virus yang telah disahkan merebak ke lain-lain kawasan di negeri Sarawak.
“Isnin ini, Pengarah Jabatan Veterinar akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan dan juga Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Sarawak (SSPCA) berhubung perkara ini.
“Kita akan bincangkan pilihan terbaik dan saya pasti SSPCA mempunyai strategi terbaik bagaimana kita dapat menguruskan haiwan ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri turut menasihatkan orang ramai supaya segera merujuk kepada hospital jika terkena gigitan anjing.
Setakat ini menurut Uggah punca sebenar jangkitan virus masih belum disahkan dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat pada Isnin ini.
Dalam pada itu, Sarawak dikejutkan dengan tiga kes penyakit anjing gila melibatkan tiga orang kanak-kanak di daerah Serian semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara ini selepas menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri mengenai jangkitan ini.
Kesemua mangsa dimasukkan ke wad rawatan insentif kanak-kanak dengan dua daripadanya terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan.
Susulan kes ini, KKM mengambil beberapa langkah kawalan dan pencegahan termasuk menjalankan siasatan menyeluruh dan menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pasif.
– UtusanBorneo