Pelaksanaan BUDI Diesel Perlu Ambil Kira Realiti Sabah – Nizam

Pelaksanaan BUDI Diesel Perlu Ambil Kira Realiti Sabah – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira faktor geografi, corak pergerakan penduduk dan struktur ekonomi Sabah yang berbeza berbanding negeri lain, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, walaupun usaha Kerajaan Persekutuan memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak wajar disokong, pelaksanaannya perlu lebih fleksibel agar tidak membebankan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Nizam berkata, keluasan Sabah, jarak perjalanan yang jauh serta kebergantungan pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, pengangkutan dan perusahaan kecil terhadap diesel memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan keadaan setempat.

“Kita menyokong usaha memastikan subsidi lebih bersasar, namun pada masa yang sama pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan tidak menambah beban rakyat yang benar-benar memerlukan.

Keperluan Sabah tidak boleh dinilai hanya berdasarkan angka penggunaan secara umum. Ia perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan, kekurangan pengangkutan awam dan kebergantungan ekonomi setempat terhadap diesel,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berharap kerajaan menilai semula kuota pembelian diesel bersubsidi serta syarat kelayakan berdasarkan penggunaan sebenar rakyat Sabah, termasuk memberi pertimbangan kepada penduduk pedalaman, petani, nelayan dan pengusaha kecil yang bergantung kepada diesel bagi menjalankan aktiviti ekonomi.

Menurutnya, peningkatan kos pengangkutan turut memberi kesan kepada golongan belia yang baru memulakan kerjaya atau perniagaan, khususnya mereka yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pikap untuk bekerja, menjalankan program komuniti serta mengembangkan perusahaan.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus mengadakan rundingan serta mendapatkan maklum balas daripada rakyat dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel mencapai matlamat mengurangkan ketirisan tanpa menjejaskan kehidupan serta kegiatan ekonomi rakyat Sabah.