SOKONGAN TERUS BERTAMBAH, UPKO MOHON SERTAI GRS PIMPINAN HAJIJI

SOKONGAN TERUS BERTAMBAH, UPKO MOHON SERTAI GRS PIMPINAN HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor terus menunjukkan pengaruh yang semakin kukuh apabila Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menjadi parti komponen gabungan tersebut.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan bersama Hajiji yang juga Pengerusi GRS bagi menyampaikan hasrat berkenaan.

Menurut Ewon, UPKO mahu menyumbang kepada usaha memperkukuh penyatuan dan kerjasama antara parti-parti tempatan Sabah demi membangunkan negeri serta memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, wawasan “Sabah First” yang diperjuangkan UPKO dilihat selari dengan agenda Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang menjadi teras perjuangan GRS.

“Kerjasama yang lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah perlu diperkukuhkan demi memastikan masa depan negeri ini terus terpelihara dan hak-hak rakyat Sabah terus diperjuangkan,” katanya.

Ewon turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang diadakan pada 25 Mei lalu telah sebulat suara bersetuju untuk mengemukakan permohonan menyertai GRS.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi petanda bahawa pendekatan politik berteraskan parti tempatan yang dibawa GRS semakin mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak, sekali gus mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut sebagai antara kuasa politik utama di Sabah.