PENAMPANG: Minat mendalam terhadap masakan tradisional yang dipupuk sejak kecil kini membuka peluang besar buat seorang sumandak (gadis) dari Tambunan apabila dipilih mewakili Malaysia ke Rom Itali untuk memperkenalkan warisan gastronomi pribumi Sabah di pentas antarabangsa.
Heraldine Jamaian, 19, atau lebih mesra dengan panggilan Kulipot, bakal menyertai program di bawah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menerusi Forum Makanan Sedunia (World Food Forum) dan Forum Belia Pribumi Global yang dijadual berlangsung di Rom hujung tahun ini.
Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Pelancaran Rasmi Jungle Food Labs di Lamin Tambunan, Koisaan Cultural Village, KDCA, hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden KDCA merangkap Pengerusi Minggu Antarabangsa Kaamatan (MICC), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Ketika ditemui media, Kulipot berkata beliau berasa terkejut namun amat bersyukur apabila dipilih untuk membawa makanan tradisional Sabah ke peringkat dunia.
“Pertama sekali, saya terkejut juga sebab saya yang dipilih antara kami bertiga. Saya rasa bangga dan bersyukur kerana diberikan peluang ini.
“Saya sangat berterima kasih dan saya akan berusaha memperkenalkan makanan tradisional Sabah di Rom,” katanya.
Menurutnya, kecintaan terhadap masakan tradisional bermula sejak kecil apabila sering mengikuti dan membantu orang tuanya memasak di rumah.
“Saya memang selalu belajar resepi sejak kecil. Saya selalu ikut orang tua saya memasak. Itu minat besar saya kerana saya suka memasak.
“Dari sanalah saya tahu bagaimana rasanya, dari mana asal sesuatu makanan dan kenapa ia disediakan dengan cara tertentu,” katanya.
Beliau berkata sebahagian besar hidangan yang dipersembahkan menerusi program Jungle Food Labs berpotensi diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa.
“Saya rasa kira-kira 80 peratus daripada makanan yang kami sediakan hari ini boleh dibawa ke Rom untuk diperkenalkan kepada dunia,” katanya.
Pada masa sama, Kulipot berharap generasi muda Sabah lebih menghargai warisan makanan tradisional dan memahami hubungan rapat antara budaya makanan dengan kelestarian alam sekitar.
“Ramai belia seusia saya masih tidak mengetahui proses dan asal-usul makanan tradisional yang kita miliki.
“Pesan saya, jagalah hutan kita kerana di situlah sumber makanan liar yang menjadi sebahagian daripada warisan kita. Jika hutan dijaga, sumber itu akan terus ada untuk generasi akan datang,” katanya.
Antara menu yang dihidang pada majlis berkenaan ialah, bubur daging salai rusa, sup ikan sungai, hinapot wagas campuran, sup ayam kampung salai, ikan pinarasakan, kerabu pakis dan hinangod.
Menurut Kulipot selain hidangan utama, pelbagai makanan sampingan tradisi turut dihidangkan termasuk nonsom bambangan, nonsom tuhau, tonsi bosou, linanggang serta minuman tradisional masyarakat tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Minggu Antarabangsa Kaamatan dan Jungle Food Labs 2026, Datuk Patinggi Andrew Ambrose berkata, pemilihan Kulipot merupakan sebahagian daripada usaha strategik untuk mengangkat makanan tradisional Sabah ke peringkat global.
Beliau berkata, Kulipot telah menerima pengiktirafan daripada KDCA dan Kingdom of Sabah untuk mewakili Sabah serta Malaysia dalam program antarabangsa berprestij itu.
“Heraldine bukan sahaja akan bercakap mengenai warisan makanan kita, tetapi juga akan memasak untuk peserta dari 175 negara di Forum Makanan Sedunia di Rom.
“Apabila dia mempersembahkan makanan itu, dia bukan mewakili dirinya sendiri. Dia mewakili makanan kita, budaya kita dan identiti kita sebagai masyarakat pribumi Sabah,” katanya.
Menurut Andrew, penyertaan itu selaras dengan matlamat menghubungkan sistem makanan tradisional masyarakat pribumi dengan perbincangan global berkaitan keselamatan makanan, keterjaminan makanan dan pemeliharaan warisan budaya.
“Ini adalah strategi kita untuk mengantarabangsakan makanan tradisional Sabah, menghubungkannya dengan dasar global dan mewujudkan ruang supaya warisan makanan pribumi terus diiktiraf di peringkat dunia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Jungle Food Labs yang diperkenalkan sempena Minggu Antarabangsa Kaamatan tahun ini dijangka diperluaskan ke daerah lain di Sabah mulai tahun depan sebagai platform mempromosikan warisan gastronomi negeri kepada generasi muda dan masyarakat antarabangsa.
Program Jungle Food Labs mengetengahkan konsep “Hutan Memberi • Kita Menghidupi”, yang mempersembahkan pelbagai hidangan berasaskan hasil hutan, sungai dan sawah padi serta teknik pemeliharaan makanan tradisional yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat pribumi Sabah.






