PRU17 bakal tamatkan pengaruh UMNO di Sabah – Ruddy Awah

PRU17 bakal tamatkan pengaruh UMNO di Sabah – Ruddy Awah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah, menempelak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan Sabah sebagai “makmal politik”, dengan menyatakan bahawa pihak yang sebenarnya menjadikan Sabah sedemikian ialah UMNO sendiri.

Menurut Ruddy, pelbagai pergolakan politik yang pernah berlaku di negeri itu, termasuk pertukaran ketua menteri dalam tempoh singkat, berpunca daripada campur tangan parti Semenanjung.

“Kalau Sabah jadi makmal politik, siapa yang buat? Mereka yang buat. Ketua menteri dua tahun, bertukar-betukar. Apa jadi kepada kita? Tapi hari ini, kita sudah bangkit,” katanya kepada Sabah News.

Datuk Seri Ruddy Awah

Ruddy, yang juga Ketua Bahagian GRS Pitas berkata rakyat Sabah kini semakin matang dan tidak lagi mahu diperbodoh atau dipermainkan dengan janji kosong pemimpin Semenanjung.

Beliau menegur tindakan Zahid yang pernah berjanji untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis, namun janji itu tidak ditunaikan selepas kemenangan dicapai.

Ruddy merujuk kepada laporan media pada Januari 2020 yang memetik Ahmad Zahid berjanji akan melaksanakan seratus peratus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya BN kembali berkuasa.

“Dia janji bulan, bintang pun dia mahu bagi. Tapi selepas menang, hilang janji dan sumpah itu. Inilah orang yang paling bahaya, berani berjanji untuk menarik hati rakyat Sabah,” tegas Ruddy.

Kritikan terhadap kepimpinan UMNO

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Ruddy turut mengkritik prestasi UMNO di bawah kepimpinan Zahid yang dianggap gagal mengembalikan kekuatan parti di Semenanjung dan Sabah.

Katanya, selepas Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menjadi Perdana Menteri, UMNO kehilangan hala tuju dan semakin merosot.

“Masa Najib jadi PM, dia ‘smart’ orangnya, boleh digunakan sebagai pemimpin. Tapi bila Zahid pegang UMNO, di Semenanjung tinggal berapa kerusi? Di negeri-negeri, tiada satu pun mereka kuasai,” katanya.

Beliau menambah, selepas PRN Sabah 2018, UMNO hanya memenangi sekitar 10 kerusi dan gagal bangkit semula, berbeza dengan parti-parti tempatan yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

UMNO cuba rampas Pitas, tapi rakyat sudah matang

Mengulas mengenai usaha UMNO untuk “mengambil semula Pitas”, Ruddy berkata tindakan itu tidak mengejutkan namun beliau mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji lama yang tidak ditunaikan.

“Cukuplah kita dikuasai berpuluh tahun oleh orang Semenanjung. Sekarang kita orang Sabah sendiri yang urus rumah kita,” ujarnya.

Katanya, walaupun beliau pernah bertanding sebagai calon bebas, UMNO tetap ditinggalkan di belakang, dan kini beliau berdiri teguh bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada PRN Sabah 2020, Ruddy Awah menang kerusi DUN Pitas sebagai calon Bebas dengan 2,918 undi dan majoriti 559 undi, menewaskan Sufian Abd Karim (BN-UMNO) yang mendapat 2,359 undi serta Shariff Azman Shariff Along (Warisan) yang meraih 1,565 undi.

Selepas menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ruddy Awah dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam kerajaan negeri Sabah, mula-mula Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2020–2023), dan kini Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah sejak Januari 2023.

Ruddy menegaskan keyakinannya bahawa GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mampu terus mentadbir Sabah dengan baik, cermat, dan berkesan.

“Sabah sudah ada kerajaan yang baik, gabungan rakyat Sabah yang berjimat cermat dan pastikan rakyat selamat. PRU17 nanti, ini kali terakhir untuk UMNO di Sabah,” katanya.

Beliau juga berikrar untuk mempertahankan kerusi DUN Pitas, sambil menyatakan keyakinan bahawa UMNO akan kehilangan pengaruh sepenuhnya di kawasan itu.

“Saya bukan menyerang. Saya mempertahankan kerusi saya. Sekarang kita sudah ada jentera lengkap, dan saya percaya Pitas milik GRS,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).