Tuntutan Hak 40 Peratus Sabah Dinanti, Rakyat Harap PMX Bawa Berita Baik...

Tuntutan Hak 40 Peratus Sabah Dinanti, Rakyat Harap PMX Bawa Berita Baik Sempena Kaamatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah menaruh harapan tinggi agar lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026 membawa khabar gembira berhubung pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperuntukkan kepada Sabah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun isu tuntutan hak 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri dan rakyat Sabah tetap berpendirian bahawa komponen hasil yang tidak dipertikaikan perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi pembayaran segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan tahun ini tanpa perlu menunggu penyelesaian penuh proses mahkamah.

Semakan terkini Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini. Kerana itu, kita mengharapkan Perdana Menteri menghadiahkan berita baik kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anwar dijadualkan menghadiri dan merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

Masiung berkata, perkara itu turut mendapat sokongan sebulat suara daripada wakil rakyat kerajaan yang menghadiri Taklimat Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Khamis lalu.

Katanya, semua wakil rakyat yang hadir bersetuju bahawa dua komponen utama hasil yang tidak dipertikaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan MA63 perlu dilaksanakan segera oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.

“Dua kerangka utama yang tidak dipertikaikan ialah hasil daripada kutipan cukai kastam dan cukai yang dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai perkara itu amat penting kerana ia bukan sahaja dinantikan oleh pemimpin negeri, malah seluruh rakyat Sabah yang mahu melihat penyelesaian konkrit terhadap isu berkenaan.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco menjelaskan bahawa berdasarkan anggaran semasa, bahagian 40 peratus Sabah daripada hasil yang terlibat dianggarkan berjumlah RM7.547 bilion.

Daripada jumlah tersebut, katanya, kadar Pemberian Khas yang sepatutnya diterima Sabah dianggarkan sekitar RM3.019 bilion.

Menurut beliau, pelaksanaan semakan tersebut akan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Isu tuntutan hak 40 peratus Sabah terus menjadi agenda utama dalam rundingan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, dengan pelbagai pihak berharap penyelesaian yang adil dapat dicapai demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Anwar dijangka hadir merasmikan kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan KDCA pada jam 11 pagi hari ini.