Ibu Zara Selesai Serah Telefon Bimbit di Balai Polis Karamunsing, Akan Dihantar...

Ibu Zara Selesai Serah Telefon Bimbit di Balai Polis Karamunsing, Akan Dihantar ke Forensik Cheras – Peguam

0
SHARE

KOTA KINABALU:  Telefon bimbit milik ibu (Noraidah Lamat) kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Karamunsing, petang tadi.

Peguam kepada ibu Zara, Hamid Ismail memaklumkan bahawa peranti itu kemudian akan dihantar ke unit forensik di Cheras bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, telefon bimbit tersebut mengandungi rakaman audio penting melibatkan komunikasi antara ibu dan arwah Zara.

Menurut Hamid, penyerahan tersebut dibuat secara langsung oleh ibu Zara dengan ditemani seorang wakil NGO, Marhamah Rosli, tanpa kehadiran pihak peguam.

“Ibu Zara lebih selesa ditemani NGO, dan saya menghormati keputusan itu,” katanya.

Ditanya mengenai barangan lain yang telah diserahkan, Hamid menjelaskan bahawa sebelum ini pihak polis telah mengambil pakaian dan barangan peribadi yang dipakai oleh Allahyarhamah semasa ditemui.

Namun, buat masa ini, hanya telefon bimbit diserahkan secara rasmi hari ini.

Ketika ditanya status siasatan, Hamid berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kertas siasatan telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara kepada pihak polis, namun tidak pasti sama ada kes kini dikendalikan oleh Bukit Aman atau di Sabah.

“Apa yang pasti, polis kini sedang giat menyiasat,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamid juga menyeru netizen agar menghentikan spekulasi liar dan tidak membuat komen tidak berasas di media sosial.

“Ibu Zara sangat tertekan. Dia baru kehilangan anaknya yang berumur 13 tahun. Yang dia perlukan sekarang ialah doa dan sokongan,” katanya.

Menurutnya lagi, proses penyerahan telefon bimbit sepatutnya dibuat lebih awal, namun ditangguhkan kerana ibu Zara keletihan selepas memberi keterangan selama empat jam di IPD Sipitang pada hari sebelumnya.

Peguam itu turut merakamkan penghargaan kepada semua NGO yang terlibat dalam membantu keluarga Allahyarhamah, dan menyifatkan kerjasama semua pihak setakat ini berjalan dengan baik dan lancar.