Joachim Mohon PMX Realisasikan Harapan Rakyat Sabah Mengenai Hak 40 Peratus

Joachim Mohon PMX Realisasikan Harapan Rakyat Sabah Mengenai Hak 40 Peratus

0
SHARE

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berharap Kerajaan Persekutuan dapat merealisasikan harapan rakyat Sabah berhubung pelaksanaan hak 40 peratus menerusi semakan semula kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peningkatan kadar Pemberian Khas yang dinikmati Sabah ketika ini amat dinantikan kerana mampu memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurutnya, walaupun isu berkaitan hak 40 peratus masih melalui proses perundangan di Mahkamah Rayuan, semakan terhadap kadar semasa yang telah diwartakan menerusi pengaturan sementara (interim arrangement) perlu diteruskan.

“Sesungguhnya komitmen ini sudah lama dinantikan dan wajar dihargai oleh seluruh rakyat di Sabah.

Sehubungan itu, adalah amat diharapkan agar komitmen tersebut dapat terus dimaknai dan disusul dengan tindakan menyemak semula kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan bersandarkan kepada hak 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hongkod Koisaan, di sini.

Joachim berkata, Sabah mengharapkan peningkatan kadar Pemberian Khas baharu dapat dilaksanakan bermula tahun ini selaras dengan pendirian yang telah dikemukakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai platform rundingan rasmi bersama Kerajaan Persekutuan.

“Sungguhpun proses mahkamah di peringkat rayuan akan berlangsung, namun perkara terkait dengan hak semasa 40 peratus berhubung special grant ini perlu disemak dengan peningkatan daripada kadar semasa yang telah diwartakan melalui interim arrangement.

“Sebagaimana pendirian Kerajaan Negeri yang telah dikemukakan melalui platform rundingan rasmi, Sabah mengharapkan agar kita akan menerima peningkatan kadar Pemberian Khas baharu bermula tahun 2026 ini,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan kadar special grant itu akan membuka ruang fiskal tambahan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan rakyat, khususnya dalam aspek bekalan air, jalan raya dan jambatan.

Dalam ucapannya, Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sabah termasuk pelbagai inisiatif kebajikan rakyat dan usaha membasmi kemiskinan tegar.

Beliau berkata, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) telah membantu meningkatkan daya tahan kewangan golongan miskin dan miskin tegar serta mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penyerahan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada Kerajaan Negeri yang disifatkan sebagai langkah penting bagi mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air luar bandar di Sabah.