PENAMPANG: Beberapa insiden pergaduhan yang berlaku di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) semasa sambutan Pesta Kaamatan baru-baru ini tular di media sosial.
Rakaman video yang tersebar menunjukkan lebih daripada satu pergaduhan berlaku di lokasi berbeza, melibatkan beberapa kumpulan individu.
Polis Daerah Penampang mengesahkan pihaknya mengesan video-video berkenaan dan telah menjalankan siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara individu terlibat.
“Pergaduhan yang berlaku tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dilerai oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, beberapa individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Polis sedang mengenal pasti semua individu yang terlibat serta mengesan saksi-saksi kejadian. Rakaman video yang tular turut diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden diminta tampil menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran.






