KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes positif COVID-19 Sabah kelmarin (Khamis) meningkat lagi kepada 497 KES di mana penyumbang utama kes adalah daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 240 kes atau 48 peratus (48%) daripada kumulatif kes, demikian menurut Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
“Satu kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Tawau…
“Dua kluster baharu turut dikesan di daerah Papar dan Kinabatangan,” kata beliau.
Kluster Kebun Lama di Papar merupakan kluster kategori komuniti yang dikesan di daerah Kota Kinabalu.
“Kes indeks adalah lelaki, 33, yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan sign-on kapal pada 15 Julai…
“Hasil saringan kontak dijalankan mendapati jumlah kumulatif kes positif sebanyak 27 kes.
“Berdasarkan siasatan awal, punca pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan keluarga disyaki berpunca daripada majlis pengebumian pada 6 Julai 2021 di Kg Kabang diikuti majlis tahlil selama lima (5) hari yang dihadiri 60 orang di Kampung Nagapas,” jelasnya.
Kluster Kuril di Kinabatangan pula berlaku di tempat kerja iaitu sebuah ladang sawit di Mukim Sukau.
“Kes indeks merupakan pemandu ladang, lelaki, 26, yang disahkan positif COVID-19 15 Julai…
“Saringan kontak kemudian mengesan 11 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan.
“Setakat hari ini, terdapat 12 kes positif COVID-19 direkodkan termasuk 10 kes baharu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, TUJUH (7) lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa dari 24 Julai sehingga 6 Ogos.
“Ini termasuklah dua lokaliti di Tuaran, Sabah iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah dan PPR Gayang Ria, Mukim Berungis…
“Kampung Gumandang di Kudat, Kampung Lumatai Ulu di Beaufort,dan tiga lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang dan Kampung Ulu Bole,” kata Masidi.