Lelaki Hilang Dalam Gua Tepadung Ditemui Selamat Selepas Lapan Hari

Lelaki Hilang Dalam Gua Tepadung Ditemui Selamat Selepas Lapan Hari

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama, di sini, sejak 26 Mei lalu, ditemui selamat pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR), iaitu Rabu.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 61, ditemui pada jam 12.43 tengah hari oleh pekerja Ladang Boonrich di kawasan ladang berhampiran lokasi pencarian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, mangsa dilaporkan hilang oleh dua rakannya selepas mereka kembali ke dalam gua dan mendapati lelaki itu tiada di lokasi.

Menurut maklumat yang diterima, kedua-dua rakan mangsa keluar dari gua untuk mendapatkan sumber air minuman dengan meninggalkan mangsa bersendirian. Namun apabila mereka kembali, mangsa didapati hilang dan usaha pencarian awal yang dijalankan gagal menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keluarga mangsa turut mengesahkan lelaki itu tidak pulang ke kediamannya di Sandakan sebelum laporan kehilangan dibuat kepada pihak berkuasa.

Operasi SAR yang melibatkan anggota BBP Lahad Datu, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Perhutanan dan orang awam diteruskan pada hari keempat dengan menumpukan pencarian di luar kawasan gua.

“Pasukan penyelamat memulakan operasi pada jam 10.20 pagi dan mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat kira-kira dua jam kemudian.

“Pemeriksaan kesihatan awal dijalankan sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang bermula sejak 31 Mei lalu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang selepas pihak penyelamat memastikan tiada lagi risiko atau bahaya di kawasan operasi.