KINABATANGAN, SABAH – Jenazah bekas Ketua Usia Bahagian Kinabatangan, Haji Hamidin Haji Radin, 69, selamat dikebumikan berhampiran kediamannya di kampung Bukit Garam pagi tadi.
Allahyarham yang merupakan abang sulung kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Duchess Of Kent Sandakan petang kemarin.
Allahyarham yang mengalami komplikasi buah pinggang dan menjalani rawatan hemodialisis dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lepas. Hamidin meninggalkan seorang isteri dan empat (4) orang anak.

Beliau seorang aktif dalam kegiatan dakwah melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bahagian Kinabatangan yang beliau terajui sebelum mengundurkan diri kerana faktor kesihatan.

Bung berada di tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir bersama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah Datuk Juhari Haji Janan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Samsudin Yahya, dan ahli keluarga allahyarham serta pemimpin masyarakat tempatan.
Bung menzahirkan ucapan terima kasih kepada saudara mara rakan-rakan yang menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan Allahyarham termasuk mereka yang hadir di majlis pengkebumian allahyarham.
“Saya berterima kasih atas ucapan dan doa kepada allahyarham abang sulung saya, kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir di majlis pengebumian hanya Allah SWT sahaja memberikan ganjaran pahala kepada semua,” katanya.