BEAUFORT: Seramai hampir 50 peserta menerima bibit lada bara menerusi Program Penyerahan Bibit Lada Bara DUN Lumadan yang diadakan di Dewan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), di sini baru-baru ini, sebagai usaha memperkasa sektor pertanian komuniti dan menggalakkan aktiviti kebun dapur dalam kalangan penduduk setempat.
Program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Selain menerima bibit lada bara, peserta turut diberikan pendedahan mengenai teknik penanaman, penjagaan tanaman serta potensi komersial lada bara sebagai tanaman bernilai ekonomi yang sesuai diusahakan di kawasan setempat.
Ruslan berkata, program berkenaan merupakan langkah awal bagi membudayakan amalan pertanian produktif di peringkat komuniti, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pengetahuan peserta dalam bidang pertanian, malah memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan melalui hasil tanaman yang diusahakan,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan hampir 50 peserta sebagai kumpulan perintis membuktikan sambutan positif masyarakat terhadap usaha memperluaskan aktiviti pertanian berskala kecil yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada keluarga.
Menurutnya, peserta yang terlibat diharap dapat menjadi contoh kepada penduduk lain untuk memulakan kebun dapur dan mengusahakan tanaman yang mempunyai nilai pasaran serta berpotensi menjana pendapatan tambahan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Amanah Raya serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Ruslan berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, syarikat korporat dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh sektor pertanian di kawasan Lumadan.






