KOTA KINABALU: Sabah kini sedang melalui fasa transformasi besar dalam sektor tenaga dengan mengambil peranan lebih aktif sebagai pemilik dan peneraju industri minyak dan gas menerusi penglibatan strategik syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri komited memastikan lebih banyak manfaat ekonomi daripada sumber tenaga negeri dapat dikekalkan untuk pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, SMJ Energy kini giat mempercepatkan aktiviti huluan, mengkomersialkan penemuan sumber tenaga baharu serta memperkukuh kedudukan Sabah dalam industri minyak dan gas negara.
“Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan Oil & Gas Services and Equipment Conference and Exhibition Sabah 2026 di Dewan Sipadan, Sabah International Convention Centre, semalam.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur dan rakan strategik antarabangsa melalui kerjasama yang melibatkan perkongsian teknologi, kepakaran serta modal bagi mempercepatkan pembangunan sektor tenaga di Sabah.
Beliau turut menggesa syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan agar memberi peluang kepada vendor tempatan, melabur dalam pembangunan bakat anak Sabah dan mewujudkan kerjasama jangka panjang yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar platform mempamerkan peralatan dan perkhidmatan industri minyak dan gas, malah menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh kestabilan kewangan, meningkatkan kebebasan komersial serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong pertumbuhan sektor tenaga dan memastikan kejayaan yang dicapai dapat memberi manfaat berpanjangan kepada Sabah serta seluruh rakyatnya,” katanya.
Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan, pelabur dan pemain industri akan terus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga yang berdaya saing di rantau ini, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat negeri ini.






