KOTA KINABALU: Usaha menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah terus menjadi keutamaan kerajaan negeri apabila Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kinara Energy dan Shandong Yingbao dari China di pejabatnya, pada Sabtu.
Dalam pertemuan tersebut, Masidi diberi taklimat mengenai perkembangan sektor tenaga serta potensi pelaburan yang boleh diterokai di Sabah, termasuk peluang kerjasama dalam projek-projek pembangunan dan industri tenaga yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
Taklimat itu disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutif Kinara Energy, Francis Jepiuh bersama Pengarah Urusannya, Sylvester Linus yang turut berkongsi perkembangan semasa syarikat serta prospek pelaburan dalam sektor tenaga di negeri ini.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha meningkatkan penglibatan rakyat tempatan dalam industri berimpak tinggi melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu serta pembangunan modal insan selaras dengan keperluan sektor tenaga yang semakin berkembang.
Turut menyertai kunjungan tersebut ialah Pengerusi Shandong Yingbao, Zhang Yueling; Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Lyu Binchang; serta beberapa wakil kanan syarikat berkenaan.
Kunjungan itu turut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan pihak industri dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta memperluaskan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor-sektor yang berpotensi tinggi.
Kerajaan negeri terus komited mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa, sekali gus memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat menerusi peluang pekerjaan dan pertumbuhan industri yang mampan.






