KOTA MARUDU: Kira-kira 650 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon masih terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon sejak tahun 2010 susulan projek pembinaan sekolah mereka yang masih belum siap selepas 16 tahun, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, kelewatan yang berlarutan itu amat membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan keselesaan dan kemudahan pembelajaran pelajar, malah memberi kesan kepada usaha menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti.
“Adalah amat mendukacitakan apabila sebuah projek sekolah yang begitu penting kepada masyarakat setempat masih belum dapat disiapkan selepas 16 tahun. Anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri ini.
“Seramai 650 murid telah menunggu terlalu lama. Mereka tidak seharusnya terus berdepan dengan situasi menumpang untuk mendapatkan pendidikan yang merupakan hak asas setiap anak,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek SMK Langkon, di sini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Halim Bidin, Pengetua SMK Langkon, Johari Bahatong serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu.
Menurut James, isu berkenaan memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada semua pihak berkaitan memandangkan pendidikan merupakan aspek penting yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, beliau akan membawa perkara tersebut terus kepada perhatian Menteri Pendidikan Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian segera serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya dapat diambil untuk meneruskan dan menyiapkan projek berkenaan.
Beliau turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan pelajar, guru dan komuniti setempat.
“Setiap anak Sabah berhak mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti. Kita tidak mahu generasi muda terus menanggung kesan kelewatan projek yang sepatutnya telah lama diselesaikan.
“Sudah tiba masanya penyelesaian konkrit dilaksanakan agar warga SMK Langkon dapat menikmati kemudahan sekolah yang sewajarnya selepas 16 tahun penantian,” tegasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) akan terus memantau perkembangan projek tersebut serta memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mempercepatkan penyelesaiannya.






