Kilang Avokado, Padang Ragut dan Sawah Padi Antara Fokus Pembangunan Melalap

Kilang Avokado, Padang Ragut dan Sawah Padi Antara Fokus Pembangunan Melalap

0
SHARE

TENOM: Pembangunan kilang pemprosesan avokado, pemulihan kawasan padang ragut terbiar serta pelaksanaan projek naik taraf sistem pengairan sawah padi antara fokus utama kerajaan dalam memperkukuh sektor agromakanan dan merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar di Melalap.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, menambah nilai hasil pertanian serta memperkukuh sumber pendapatan rakyat.

Beliau berkata, dua kawasan padang ragut yang sebelum ini terbiar di Lagud dan Pamilaan sedang dibangunkan semula bagi merancakkan industri penternakan serta meningkatkan pengeluaran hasil tempatan.

Dalam masa sama, beberapa projek naik taraf sistem pengairan sawah padi turut dilaksanakan di Kampung Kalang, Makakumpai, Lagud Sebrang, Kasiai dan Jawa Sumbiling bagi meningkatkan produktiviti sektor penanaman padi.

Menurutnya, kerajaan juga akan membangunkan dua kilang pemprosesan buah-buahan di kawasan berkenaan, termasuk sebuah kilang khusus untuk pemprosesan avokado yang mempunyai potensi pasaran tinggi di peringkat antarabangsa.

“Avokado mempunyai permintaan yang sangat tinggi dari China dan negara itu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam aspek pemprosesan dan pengendalian.

Atas sebab itu, pemprosesannya tidak boleh dicampurkan dengan buah-buahan lain. Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu pengusaha tempatan serta memberikan pulangan harga yang lebih baik kepada masyarakat tani di Melalap dan Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Melalap 2026 yang melibatkan empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang, di sini, baru-baru ini.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, usaha memperkukuh sektor agromakanan penting dalam memastikan keterjaminan makanan negeri, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang boleh menjejaskan bekalan makanan global.

“Pada masa ini kadar sara diri (SSL) beras Sabah hanya sekitar 20 peratus. Jika kita dapat meningkatkannya kepada 40 hingga 50 peratus melalui pembukaan kawasan terbiar dan peningkatan hasil daripada sekitar tiga tan kepada enam tan sehektar menggunakan teknologi serta mekanisasi, maka keterjaminan makanan negeri ini akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Selain itu, beliau berkata golongan nelayan sungai di Melalap turut menerima manfaat apabila status mereka dinaik taraf sebagai nelayan darat, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan kerajaan termasuk bot, enjin sangkut dan kemudahan jeti.

Sementara itu, Jamawi berkata sambutan Pesta Kaamatan Mukim Melalap membuktikan keharmonian serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut yang menjadi asas penting kepada pembangunan dan kemajuan setempat.

“Masa berpolitik telah ditinggalkan dan kini adalah masa untuk kita bekerja bersama-sama memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang telah mendapat persetujuan secara prinsip daripada Perdana Menteri dan kini menunggu cadangan terperinci berkaitan reka bentuk serta skop kerja sebelum dilaksanakan.