Sindiket Dadah, Scam Tumpas: Syabu RM8 Juta Dirampas, 341 Ditahan di Sabah–Labuan

Sindiket Dadah, Scam Tumpas: Syabu RM8 Juta Dirampas, 341 Ditahan di Sabah–Labuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan dua rangkaian jenayah besar melibatkan dadah dan penipuan dalam talian menerusi beberapa operasi berasingan di negeri ini dan Labuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata tiga individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan pada 22 Mei lalu, dengan rampasan syabu seberat 159.8 kilogram bernilai hampir RM8 juta.

“Suspek pertama ditahan selepas dilihat membawa sebuah kotak sebelum melarikan diri ke arah City Mall Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan dadah di beberapa lokasi termasuk Luyang dan sebuah hotel di pusat bandar,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Beliau berkata serbuan susulan di Inanam serta sebuah kenderaan membawa kepada rampasan keseluruhan 156 bungkusan syabu, selain dua kenderaan Proton X50 turut disita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan polis sedang memburu tiga lagi suspek.

Dalam perkembangan berasingan, Jauteh berkata seramai 341 individu ditahan dalam 12 operasi membanteras sindiket “calling centre” dari Januari hingga Jun tahun ini di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau, Sandakan dan Penampang.

“Sindiket ini terlibat dalam pelbagai penipuan termasuk pelaburan palsu, skim saham tidak wujud, ‘love scam’, pinjaman tidak sah, penyamaran polis dan perjudian dalam talian,”katanya.

Menurutnya, mangsa disasarkan melalui aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, KakaoTalk, Line dan Band.

Daripada jumlah tangkapan, 303 adalah warga China, 27 rakyat tempatan, sembilan warga Vietnam, serta masing-masing seorang dari Taiwan dan Laos.

Polis turut merampas lebih 1,100 telefon bimbit, 148 komputer dan komputer riba, 18 peranti internet serta wang tunai RM210,265.

Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.