Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna Dibubarkan

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna Dibubarkan

0
SHARE

SEMPORNA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam melaksanakan Majlis Pembubaran Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR), menandakan penamatan operasi pangkalan tersebut selepas hampir sedekad berperanan sebagai benteng hadapan keselamatan perairan Sabah Timur.

Majlis penuh istiadat ketenteraan itu disempurnakan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris.

PL TSR pada asalnya merupakan platform Mobile Offshore Production Unit dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973 sebelum ditransformasikan melalui kerjasama TLDM, PETRONAS dan Sapura Kencana menjadi pangkalan laut hadapan strategik.

Pangkalan itu mula beroperasi pada 31 Julai 2015 dan dirasmikan pada 28 Mei 2016, dengan nama diambil sempena Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah, isteri Perdana Menteri pertama Malaysia.

Sepanjang perkhidmatannya, PL TSR memainkan peranan penting menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan zon berkepentingan serta memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).

Fungsi pangkalan tersebut kini akan diambil alih Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di perairan strategik Sabah Timur.