Himpunan ‘Tangkap Shafie Apdal’ bakal diadakan di Sabah Julai ini

Himpunan ‘Tangkap Shafie Apdal’ bakal diadakan di Sabah Julai ini

0
SHARE

PUTRAJAYA: Satu perhimpunan besar-besaran dikenali sebagai ‘Tangkap Shafie Apdal’ bakal diadakan di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Julai depan.

Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, himpunan yang digerakkan oleh gabungan pertubuhan belia dan mahasiswa dari seluruh Sabah itu bertujuan menyuarakan aspirasi golongan muda berkaitan isu integriti, ketelusan serta akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai penganjuran perhimpunan tersebut oleh wakil belia dan mahasiswa yang hadir bertemunya bagi mendapatkan sokongan terhadap program berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan pada 4 dan 5 Julai di Sabah dengan tema ‘Tangkap Shafie Apdal’.

“Belia dan mahasiswa yang terlibat turut bertemu saya bagi mendapatkan bantuan dan sokongan terhadap penganjuran himpunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai penggunaan karikatur dalam kempen promosi himpunan tersebut, Zulkarnain enggan memberikan sebarang komen kerana ia merupakan idea yang dicetuskan oleh golongan belia sendiri.

“Itu idea daripada golongan belia. Saya tidak mahu campur tangan dan tidak mahu memberikan sebarang komen sama ada ia berbentuk tindak balas, balas dendam atau sebaliknya. Itu pandangan mereka sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kumpulan penganjur terdiri daripada beberapa pertubuhan belia dan mahasiswa yang hadir khas dari Sabah bagi mengumumkan penganjuran himpunan berkenaan.

Menurutnya, pihak penganjur dijangka mengeluarkan maklumat lanjut berkaitan objektif, pengisian serta perjalanan program itu dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan pihak penganjur di Sabah akan memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai program ini.

“Apa yang boleh saya sahkan ialah perhimpunan besar-besaran tersebut akan berlangsung di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai ini,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai, khususnya golongan belia, untuk hadir dan menyertai himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap agenda yang dibawa penganjur.

Katanya, perhimpunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 anak muda dari seluruh Sabah dan berpotensi menjadi antara himpunan awam terbesar yang dianjurkan oleh pertubuhan belia serta mahasiswa di negeri tersebut tahun ini.