Piala Dunia 2026 Hambar, Industri Pelancongan, Hotel dan Penerbangan di AS Terjejas

Piala Dunia 2026 Hambar, Industri Pelancongan, Hotel dan Penerbangan di AS Terjejas

0
SHARE

NEW YORK: Beberapa jam sebelum sepak mula Piala Dunia 2026, impak ekonomi yang diharapkan daripada kejohanan bola sepak terbesar dunia itu masih belum dirasai apabila sektor pelancongan dan perjalanan di Amerika Syarikat (AS) mencatat prestasi di bawah jangkaan.

Memetik laporan Harian Metro, industri pelancongan yang sebelum ini menjangkakan lonjakan besar kehadiran penyokong antarabangsa kini berdepan realiti berbeza apabila tempahan hotel dan penerbangan kekal rendah, manakala harga tiket perlawanan yang tinggi terus mengekang permintaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel New York City, Vijay Dandapani, menyifatkan sambutan terhadap kejohanan kali ini sebagai mengecewakan.

“Ia secara keseluruhannya mengecewakan. Tiada perkataan lain yang boleh saya gunakan,” katanya.

Menurut beliau, persatuan itu terpaksa mengurangkan unjuran hasil bilik hotel berkaitan Piala Dunia sebanyak 60 peratus kepada kira-kira AS$60 juta (RM243 juta).

Data syarikat analisis penerbangan Cirium menunjukkan tempahan penerbangan dari Eropah ke kebanyakan bandar tuan rumah bagi Jun dan Julai menurun purata 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala tempahan ke New York yang bakal menjadi tuan rumah perlawanan akhir pada 19 Julai merosot sehingga 15.8 peratus.

Walaupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengunjurkan seramai 1.2 juta penyokong akan membanjiri New York, pihak industri kini menjangkakan hanya sekitar 500,000 pengunjung akan hadir.

Penganalisis industri berpendapat kos perjalanan yang tinggi, harga tiket yang melambung, proses visa yang rumit serta cabaran logistik merentasi 16 bandar tuan rumah di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico menjadi faktor utama yang menghalang kehadiran penyokong antarabangsa.

Selain itu, peminat tempatan di Amerika Syarikat juga dilihat gagal mengisi kekosongan berikutan bola sepak masih belum mencapai tahap populariti seperti di Eropah dan Amerika Selatan.

Keadaan itu memaksa beberapa hotel menawarkan diskaun besar bagi menarik pelanggan. Antaranya, New York Hilton Midtown dilaporkan menurunkan kadar biliknya hampir separuh berbanding harga yang diiklankan beberapa bulan lalu.

Dalam kalangan penyokong pula, ramai memilih alternatif yang lebih murah berbanding hadir secara fizikal ke stadium.

Penulis dan penyokong tegar England, Andy Milne berkata, sebahagian peminat memilih bercuti di destinasi lain sambil menonton perlawanan menerusi televisyen kerana kos keseluruhan jauh lebih rendah.

“Masih memerlukan wang, tetapi jauh lebih murah berbanding membeli tiket, penerbangan, hotel dan pengangkutan ke stadium,” katanya.

Selain kos tinggi, dasar imigresen dan kawalan sempadan yang lebih ketat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong luar negara, terutama mereka yang memerlukan visa untuk memasuki Amerika Syarikat.

Pada masa sama, sistem harga dinamik yang diperkenalkan FIFA serta kebenaran jualan semula tiket tanpa had turut menyebabkan harga tiket melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah kejohanan.

Menurut data TicketData, tiket termurah bagi beberapa perlawanan di bandar seperti New York dan Miami kini menghampiri AS$1,000 (RM4,059).

Bagaimanapun, sektor sewaan penginapan jangka pendek terus menunjukkan prestasi positif. Airbnb sebelum ini memaklumkan bahawa Piala Dunia 2026 berada di landasan untuk menjadi acara terbesar dalam sejarah syarikat itu.

Data AirDNA turut menunjukkan peningkatan tempahan penginapan, khususnya kategori bajet dan ekonomi, di beberapa bandar tuan rumah termasuk Boston dan Los Angeles.

Ketua Ekonomi AirDNA, Jamie Lane berkata, peningkatan permintaan pelancongan tetap berlaku meskipun tidak mencapai tahap yang diharapkan industri perhotelan.

“Terdapat lebih banyak permintaan pelancongan di semua bandar ini kerana Piala Dunia. Ia sesuatu yang tidak boleh dinafikan,” katanya.