LAHAD DATU: Sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bumiputra Silam, Lorong Usman Duri 3, di sini, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.38 petang itu, kebakaran bukan sahaja memusnahkan kediaman berkeluasan 40 x 50 kaki persegi berkenaan, malah turut melibatkan enam buah kenderaan dan empat motosikal yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid, memaklumkan, rumah terbabit dilaporkan terbakar 100 peratus.
“Turut musnah sepenuhnya ialah sebuah Proton Saga (BLX), Proton Wira, Perodua Myvi, Perodua Axia serta empat motosikal pelbagai jenis.
“Manakala sebuah Proton Iswara dan Proton Perdana mengalami kerosakan akibat kebakaran masing-masing sebanyak 10 peratus.
Sumsoa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 1.38 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.03 petang dan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.08 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Operasi turut dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Silam dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.






