KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng bersikap tidak matang, angkuh dan gagal berfikir secara rasional dalam menguruskan parti.
Memetik sumber Berita Harian, Zuraida yang digantung keahlian daripada PBM pada Oktober lepas mendakwa ia termasuk tindakan Larry sebelum ini mengugut pemimpin lain dengan menggunakan kuasanya untuk menandatangani watikah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang demokratik, Larry sepatutnya berbincang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan atau membuat keputusan tertentu.
“Malangnya, perkara ini berlaku selepas saya dan pasukan membangunkan PBM dari awal penubuhannya dengan penambahan kekuatan daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara.
“Ia dengan perjanjian bahawa tampuk tertinggi parti diserahkan kepada saya serta-merta berikutan pengumuman saya menyertai parti ini. Perkara ini juga diabsahkan melalui usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti di peringkat nasional.
“Namun selepas PRU15 berlangsung, Larry seolah-olah memungkiri janji, malah bertindak tanpa segan silu membelakangi kehendak majoriti ahli PBM dan MenyalahgunakAn jawatannya untuk kekal Berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Semalam, media melaporkan Larry telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) PBM, selepas mereka gagal hadir mesyuarat MT minggu lalu dan diberi tempoh untuk menjawab surat itu dalam tempoh tujuh hari, sehingga Isnin ini.
Katanya, jika gagal berbuat demikian, mereka akan disingkirkan daripada PBM.
Pada 28 Oktober lalu, Larry mengumumkan menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli MT PBM susulan pembabitan berterusan mereka yang didakwa menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.
Krisis dalaman PBM semakin meruncing selepas Larry sebelum itu mendakwa, beliau masih Presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk diisi Zuraida.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau menyerahkan isu berkenaan kepada ahli PBM dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, beliau akan meneruskan khidmat dalam memperkasa agenda membina negara melalui kapasiti sedia ada di peringkat global, tempatan dan dalam komuniti, termasuk aktiviti kebajikan serta sosial yang sudah dimulakannya sekian lama.
“Gerak kerja dan aspirasi saya untuk membawa agenda progresif bagi rakyat Malaysia ini juga akan saya teruskan dan dilaksanakan melalui pelbagai platform khususnya melalui NGO Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara.
“Pertubuhan ini saya asaskan sejak 2017 yang kini bersama gagasan besar NGO Muafakat Nasional (MN),” katanya.