Dua Disyaki Pengebom Ikan Gagal Lolos, Ditahan Maritim di Semporna

Dua Disyaki Pengebom Ikan Gagal Lolos, Ditahan Maritim di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing gagal melarikan diri apabila bot pam dinaiki mereka dipintas Maritim Malaysia dalam operasi khas di perairan Pulau Karindingan, pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, bot ronda yang melaksanakan Ops Sejahtera, Ops Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Ops Tiris 4.0 mengesan sebuah bot pam mencurigakan sebelum tekongnya bertindak memecut laju untuk meloloskan diri.

Bot tersebut bagaimanapun berjaya dipintas pada jarak 1.6 batu nautika di timur pulau berkenaan.

Pemeriksaan menemui enam botol disyaki bom ikan, manakala kedua-dua suspek berusia 50 dan 24 tahun didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Zon Semporna menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti pengeboman ikan.

“Penggunaan bom ikan bukan sahaja satu kesalahan jenayah berat, malah merupakan tindakan khianat yang memusnahkan terumbu karang dan khazanah marin negara.

“Kami akan terus memperketatkan rondaan di kawasan hotspot bagi membanteras aktiviti ini,” katanya.

Beliau turut menggesa komuniti maritim agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

Turut dirampas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran, enjin pam 20HP dan kompresor udara dipercayai digunakan untuk menyelam.

Kedua-dua suspek ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala semua rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk siasatan lanjut.