Regatta Lepa 2026 Dijangka Tarik 60 Ribu Pengunjung Pada 26-28 Jun Ini...

Regatta Lepa 2026 Dijangka Tarik 60 Ribu Pengunjung Pada 26-28 Jun Ini di Semporna

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-31 Tahun 2026 dijangka menarik antara 40,000 hingga 60,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 26 hingga 28 Jun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Regatta Lepa bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan masyarakat Bajau Semporna, malah berperanan sebagai platform penting dalam mempromosikan keunikan budaya, seni dan tradisi Sabah kepada pelancong dari dalam serta luar negara.

Menurut beliau, acara tahunan yang memasuki edisi ke-31 itu akan berlangsung di Dataran Regatta dan Padang Bandaran Semporna dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjurannya.

“Regatta Lepa merupakan acara kebudayaan yang sangat signifikan kepada Sabah, khususnya masyarakat Bajau Semporna. Ia bukan sahaja memelihara warisan budaya tetapi turut menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Sambutan Regatta Lepa Semporna 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 26 Jun, manakala majlis penutupan dan Malam Penobatan Ratu Lepa dijangka disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 27 Jun.

Sepanjang sambutan itu, pelbagai acara tradisi dan aktiviti sampingan akan diadakan termasuk sukan laut, pertandingan perahu berhias atau lomba perahu, pameran kebudayaan, larian Lepa serta program-program komuniti yang menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

Turut menjadi tumpuan ialah pertandingan Ratu Lepa yang akan bermula dengan sesi pendaftaran pada 21 Jun. Setakat ini, lebih 30 peserta telah mendaftar termasuk penyertaan dari luar daerah Semporna.

Mengulas mengenai aspek keselamatan, Jafry memberi jaminan bahawa Semporna kekal selamat untuk dikunjungi dengan pelbagai langkah keselamatan yang telah dilaksanakan kerajaan melalui penempatan pasukan keselamatan di kawasan strategik termasuk pulau-pulau peranginan.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap peningkatan tahap keselamatan di Semporna turut diterjemahkan menerusi semakan semula tahap nasihat perjalanan oleh beberapa negara asing, termasuk Amerika Syarikat.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelancong. Usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi keselamatan telah membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Semporna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat dalam meningkatkan tahap kebersihan daerah berkenaan yang menjadi antara destinasi pelancongan utama Sabah.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani isu pengendali haram dan kebersihan persekitaran, sekali gus membantu memperbaiki imej Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan semakin meningkat dan perubahan positif dapat dilihat. Kita berharap usaha ini dapat diteruskan demi memastikan industri pelancongan Semporna terus berkembang,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Regatta Lepa Semporna 2026, Mas Syazwan Datuk Haji Masood.