Penganggur Berusia 18 dan 24 Tahun Ditahan Bersama Bekalan Syabu di Kondominium...

Penganggur Berusia 18 dan 24 Tahun Ditahan Bersama Bekalan Syabu di Kondominium Tawau

0
SHARE

TAWAU: Dua penganggur tempatan berusia 18 dan 24 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyimpan 17 paket bekalan dadah jenis syabu di sebuah unit kondominium dalam serbuan Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Isnin lalu.

Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek ditemui dalam keadaan mencurigakan di atas katil sebuah bilik di rumah kondominium tersebut sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil soal siasat awal, suspek utama mengaku menyimpan dadah di dalam sebuah beg silang berwarna hitam yang diletakkan berhampirannya.

“Pemeriksaan terhadap beg itu menemukan satu plastik bertangkai mengandungi dua paket lutsinar berlainan saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan sebuah beg kulit berzip yang mengandungi 15 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan yang sama disyaki dadah jenis syabu.

Selain itu, polis turut merampas sebuah botol plastik yang dipercayai mengandungi cecair disyaki dadah jenis MDMA (metilenadioksimetamfetamina).

Keseluruhan rampasan membabitkan 54.47 gram syabu dan 19.57 gram MDMA dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM3,000.

Dalam operasi sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM477 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil kegiatan pengedaran dadah.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 24 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek berusia 18 tahun didapati negatif.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Tambah kenyataan itu, polis sedang meneruskan siasatan dan risikan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

“Polis Daerah Tawau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras jenayah dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.

orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah turut digesa supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras ancaman dadah di daerah ini.