KOTA KINABALU: Lebih 65 peratus daripada kira-kira 200 pempamer yang menyertai Sabah Agro Expo (SAEX) 2026 berusia 40 tahun ke bawah, menunjukkan minat golongan muda terhadap sektor pertanian di Sabah semakin meningkat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkembangan itu membuktikan sektor pertanian kini memberikan semangat baharu kepada golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan sama ada sebagai pengusaha, peniaga atau mendapatkan maklumat berkaitan industri itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan SAEX 2026 anjuran ESM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
“Lebih kurang 200 pempamer menyertai ekspo ini dan saya difahamkan enam kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari, semuanya berkaitan pertanian, perikanan, ternakan dan makanan,” katanya.
Menurut Jamawi, satu kursus berkaitan ternakan kambing turut dianjurkan menerusi ekspo itu, manakala latihan praktikal diadakan di Penampang.
Katanya, kementerian menyokong penuh penganjuran ekspo berkenaan dan akan terus membantu penganjuran pada tahun-tahun akan datang, termasuk 2027 hingga 2030.
“Saya telah memberikan jaminan Kementerian Pertanian akan membantu penganjuran ekspo-ekspo akan datang kerana bagi saya apabila meninjau gerai-gerai, kita lihat lebih kurang 65 peratus yang terlibat adalah anak-anak muda berusia 40 tahun ke bawah.
“Ini menunjukkan industri pertanian di Sabah sudah memberikan semangat baharu kepada anak-anak muda untuk terlibat dalam sektor pertanian,” katanya.
Jamawi berkata, penganjuran ekspo seumpama itu juga wajar diperluaskan ke daerah lain seperti Tawau, Sandakan dan kawasan pedalaman bagi memastikan maklumat berkaitan pertanian, perikanan, ternakan dan makanan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh kepada rakyat Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Sabah masih mengimport beras, jagung dan bawang bernilai hampir RM2 bilion setahun, walaupun ketiga-tiga komoditi itu berpotensi diusahakan secara lebih besar di negeri ini yang mempunyai tanah mencukupi.
“Beras lebih kurang RM1 bilion, jagung RM600 juta dan bawang RM400 juta, jadi keseluruhannya hampir RM2 bilion setahun. Itu belum lagi kita sebut kacang soya, gandum dan sebagainya.
“Inilah peluang yang boleh diambil oleh anak-anak muda,” katanya.
Bagi meningkatkan pengeluaran padi, Jamawi berkata, kementerian menyediakan program mini estet dengan memadankan pemilik sawah yang tidak lagi berkemampuan mengusahakan tanah mereka, atau anak-anak pemilik yang tidak berminat mengusahakan sawah, dengan syarikat yang berminat menjalankan penanaman padi secara estet.
Katanya, setakat ini enam syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU), manakala 19 syarikat lagi sedang menunggu untuk mendapatkan tanah yang sesuai bagi dibuka dan diusahakan menerusi program berkenaan.
Mengenai jagung pula, beliau berkata, peruntukan RM20 juta disediakan bagi tempoh kira-kira lima tahun menerusi insentif penanaman jagung.
“Kita akan menggunakan skala yang besar dan mekanisasi, mesin, dron dan sebagainya supaya kita boleh mengurangkan kos pengeluaran jagung.
“Untuk makluman, kita sudah cuba di Kota Marudu dan kos pengeluaran adalah lebih kurang 90 sen hingga RM1 sekilogram, sedangkan harga import lebih kurang RM1.60 sekilogram,”katanya.
Jamawi berkata, pengeluaran jagung tempatan masih berpotensi memberikan keuntungan kepada pengusaha sekiranya kos pengeluaran dapat dikurangkan menerusi penggunaan teknologi dan mekanisasi.
Beliau berkata, perkara sama turut perlu diberi perhatian bagi pengeluaran bawang, memandangkan ketiga-tiga komoditi itu antara penyumbang terbesar kepada import makanan Sabah.
Pada masa sama, Jamawi menggalakkan golongan muda mendapatkan maklumat dan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan untuk menceburi sektor pertanian.
Katanya, kementerian menyediakan bantuan dan subsidi tanaman menerusi Jabatan Pertanian, manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyediakan kursus berkaitan ternakan.
“Dengan Koperasi Pembangunan Desa juga ada kursus-kursus membuat bongkar, cendawan, memelihara ayam dan sebagainya.
“Saya mengharapkan anak-anak muda datanglah ke agensi-agensi ini untuk mendapatkan maklumat. Malahan hari ini mereka membuka booth dan gerai untuk memberikan maklumat bagaimana untuk mengusahakan pertanian, perikanan, ternakan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda yang mahu mengembangkan perusahaan selepas menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian turut boleh mendapatkan kemudahan pinjaman menerusi Perbadanan Pinjaman Sabah.
“Di peringkat pinjaman negeri, kita telah diberi kelulusan melalui Perbadanan Pinjaman Sabah, pinjaman RM100,000 ke bawah tanpa faedah.
“Jadi selepas mendapat bantuan kecil-kecilan di peringkat Jabatan Pertanian dan ingin mengembangkan perniagaan, mereka boleh meminjam sehingga RM100,000 tanpa faedah dan tanpa cagaran,” katanya.
Jamawi berkata, kemudahan berkenaan perlu direbut golongan muda, khususnya di kawasan luar bandar, bagi membina perusahaan pertanian yang lebih berdaya maju dan mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap makanan import.






