TUARAN, SABAH – Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menyarankan semua Ketua Bahagian Parti itu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya mengejut dan menggerakkan jentera masing-masing di seluruh negeri.
Beliau berkata BERSATU Sabah perlu siap sedia sepenuhnya sekiranya berlaku Pilihan Raya mengejut dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) terutamanya PBS, PBRS, STAR, UMNO dan MCA.
“Walaupun setakat ini belum ada kata putus sama ada pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, BERSATU mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran politik, terutamanya kemungkinan berlakunya Pilihan Raya mengejut…
“Saya ingin menyeru seluruh Bahagian BERSATU Sabah untuk mula menggerakkan jentera Pilihan Raya masing-masing lebih awal supaya BERSATU akan telah bersedia sepenuhnya untuk mendapat mandat baru daripada rakyat untuk memimpin negara kita.”
Hajiji berkada demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan sebuah mesyuarat BERSATU Bahagian Tuaran yang telah diadakan di Ibupejabat BERSATU Tuaran, sini, pada petang Sabtu.
Menurut Hajiji, semua Cawangan BERSATU di Sabah juga harus mengerakkan jentera penambahan ahli, terutamanya di peringkat akar umbi, bagi memastikan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima mandat yang baru dan padu daripada masyarakat.
“Kebolehan dan kehebatan Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah terbukti dengan cukup jelas apabila PN berjaya menangani penularan wabak COVID-19, sehingga negara kita dipuji dan disegani oleh negara-negara lain serata dunia dan kita kita telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk menghidupkan dan memantapkan semula ekonomi negara.

“Kejayaan menangani isu COVID-19 juga datang setelah negara kita bertukar kerajaan dan ini merupakan bukti kukuh bahawa Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN mampu untuk melonjakkan and membangun semula negara kita setelah dilanda pandemik ini,” beliau berkata.
Hajiji turut mengingatkan semua pemimpin Parti untuk terus mengikuti SOP dan langkah berjaga-jaga yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk terus mencegah penularan wabak COVID-19.
“Walaupun kerajaan persekutuan telah mula melonggarkan pergerakan rakyat melalui introduksi PKPB dan kini PKPP untuk menjana semula ekonomi setempat, ia tidak bermaksud rakyat kini bebas untuk kembali ke norma lama dan mengabaikan ancaman COVID-19,” beliau berkata.





