KOTA KINABALU: Pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel menggunakan sistem pengesahan MyKad bermula 1 Julai ini dijangka mampu mengurangkan ketirisan diesel bersubsidi sehingga satu bilion liter setahun, sekali gus memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati rakyat yang layak.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketirisan subsidi sebelum ini banyak berlaku dalam sektor diesel berikutan ketiadaan penggunaan meluas sistem pengesahan MyKad seperti yang telah dilaksanakan bagi petrol RON95.
Menurut beliau, menerusi mekanisme baharu di bawah BUDI Diesel, hanya warganegara Malaysia yang layak akan dapat menikmati harga diesel bersubsidi, manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api itu pada harga pasaran.
“Kita menganggarkan pelaksanaan sistem ini dapat mengurangkan ketirisan sebanyak satu bilion liter diesel setahun. Selain mengurangkan beban subsidi kerajaan, ia juga membantu menjamin kestabilan bekalan diesel dalam negara,” katanya.
Beliau berjdalam sidang media selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sabah) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Hasil penjimatan daripada usaha mengurangkan ketirisan membolehkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau menjelaskan, sama seperti pelaksanaan BUDI95 yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, rakyat tidak perlu membuat pendaftaran untuk menikmati subsidi asas diesel kerana kelayakan akan disahkan secara automatik melalui MyKad.
“Pengguna hanya perlu menggunakan MyKad di stesen minyak. Mereka yang memerlukan kuota tambahan sehingga 100 liter sebulan pula boleh membuat permohonan melalui portal yang disediakan atau mendapatkan bantuan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai pelaksanaan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, Amir Hamzah berkata kerajaan yakin penggunaan MyKad tidak akan menjadi masalah berdasarkan kejayaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata, Sabah mempunyai kira-kira 1,493 kedai SARA termasuk di kawasan pedalaman dan kadar penggunaan bantuan itu oleh penerima di negeri ini mencapai hampir 100 peratus.
“Ini membuktikan penggunaan MyKad sudah diterima secara meluas termasuk di kawasan luar bandar. Sistem yang digunakan juga mudah dan tidak memerlukan sebarang proses yang rumit,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata kerajaan turut memperkenalkan bantuan khas melalui BUDI Agri-Komoditi bagi membantu pekebun dan petani kecil yang menggunakan diesel dalam aktiviti pertanian.
Katanya, golongan berkenaan akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan dan tambahan RM200 lagi sepanjang tempoh harga minyak tinggi, menjadikan jumlah bantuan RM400 sebulan bagi menampung kos pembelian diesel pada harga pasaran.
“Kita mahu subsidi ini benar-benar disasarkan kepada rakyat dan pengusaha kecil yang memerlukan. Ladang-ladang besar tidak memerlukan subsidi diesel kerana mereka mempunyai kapasiti kewangan yang lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Masidi Manjun berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil kira pelbagai faktor dan keadaan unik di Sabah sebelum memperkenalkan mekanisme subsidi diesel bersasar itu.
Beliau yakin pelaksanaan skim tersebut mampu mencapai matlamat asalnya dengan syarat penambahbaikan terus dilakukan berdasarkan maklum balas rakyat.
“Saya optimis skim ini baik. Apa yang penting ialah memastikan pelaksanaannya berkesan dan tidak ada golongan yang layak tercicir daripada menerima subsidi,” katanya.
Masidi turut mengingatkan rakyat Sabah supaya memainkan peranan membantu kerajaan membanteras ketirisan subsidi yang selama ini menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Kita dimaklumkan masih berlaku kehilangan sehingga satu bilion liter diesel bersubsidi. Jika ketirisan dapat dikurangkan, bukan sahaja kerajaan mendapat manfaat, tetapi rakyat juga akan menikmati bekalan yang lebih stabil dan harga yang lebih rendah,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan diesel bersubsidi kepada pihak yang tidak layak.
“Ini hak rakyat. Jangan biarkan pihak lain mengambil manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia. Kita perlu menjaga kepentingan sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Amir Hamzah berkata, penjimatan hasil pengurangan ketirisan akan disalurkan semula kepada rakyat, seperti yang dibuktikan melalui pengurangan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
“Apabila ketirisan berjaya dikurangkan, kerajaan mempunyai lebih banyak ruang fiskal untuk membantu rakyat. Jika kita gagal mengawal ketirisan, akhirnya rakyat juga yang rugi kerana dana yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu. Masidi memaklumkan setakat ini, kerajaan belum menerima sebarang bantahan rasmi daripada pemain industri atau pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan mekanisme baharu itu, namun menegaskan saluran komunikasi sentiasa terbuka bagi menerima cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa.






