Dua Lelaki Melecur Terkena Letupan Selepas Kompressor Mesin Pemotong Kayu Terbakar di...

Dua Lelaki Melecur Terkena Letupan Selepas Kompressor Mesin Pemotong Kayu Terbakar di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan melecur selepas terkena letupan akibat kebakaran kompressor mesin pemotong kayu yang berlaku di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah pada petang Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.18 petang.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota bomba dari BBP Keningau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 9 kilometer dan tiba pada jam 3.27 petang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di dalam kilang yang terbakar 100 peratus.

“Turut terlibat sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah beliau, menurut maklumat saksi di lokasi kejadian, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua orang pekerja mengalami kecederaan melecur.

“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan mengalami melecur belakang dan seorang lagi lelaki warga asing melecur 80 peratus di badan. 

“Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” jelasnya.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan kilang dan seterusnya memadam kebakaran sepenuhnya.

Setelah pemeriksaan dijalankan dan dipastikan tiada lagi bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang.