Program Rakyat Yang Wajar Diberi Ruang – Skuad Antidadah Pertahan SMD

Program Rakyat Yang Wajar Diberi Ruang – Skuad Antidadah Pertahan SMD

0
SHARE

KOTA KINABALU: Skuad Antidadah Sabah mempertahankan penganjuran Sabah MotoDay (SMD) di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambil menegaskan program itu merupakan platform positif untuk belia dan masyarakat yang wajar diberikan ruang, bukannya dibantah tanpa asas yang kukuh.

Ketua Penerangan Skuad Antidadah Sabah, Osman Johari berkata, pihaknya memandang serius bantahan segelintir pihak terhadap penganjuran program itu yang disifatkan seolah-olah menggambarkan kampus universiti hanya eksklusif untuk kelompok tertentu dan tidak boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Sabah MotoDay bukan sekadar perhimpunan permotoran. Ia merupakan platform menghimpunkan anak muda, peminat sukan permotoran, usahawan kecil, komuniti belia serta rakyat pelbagai latar belakang dalam suasana yang terkawal, tersusun dan positif, dengan matlamat utama menerapkan kebencian terhadap dadah dalam kalangan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut beliau, Sabah MotoDay bukan program baharu di UMS kerana ia pernah dianjurkan sebelum ini tanpa berlaku sebarang salah guna, kerosakan atau gangguan besar yang menjejaskan kemudahan universiti mahupun warga kampus.

Osman berkata, penganjuran kali ini juga dijadualkan berlangsung ketika cuti semester, hanya menggunakan kawasan Padang Kawad UMS dan tidak melibatkan penyertaan secara langsung pelajar universiti.

“Dakwaan bahawa program ini akan mengganggu kehidupan kampus adalah tidak berasas dan bersifat keterlaluan. Kampus bukan sahaja tempat menuntut ilmu, tetapi juga ruang membina masyarakat, memperkukuh perpaduan dan mendekatkan institusi pendidikan dengan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa suara mahasiswa sewajarnya bersifat matang, rasional dan berpandukan fakta, bukannya dipengaruhi sentimen atau persepsi yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, anak muda dalam komuniti permotoran juga merupakan sebahagian daripada rakyat Sabah yang berhak diberikan ruang untuk berhimpun secara aman selagi program dilaksanakan secara tertib, bertanggungjawab serta mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Terdahulu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS dalam kenyataan berasingan menyuarakan bantahan terhadap pemilihan UMS sebagai lokasi penganjuran Sabah MotoDay.

Menurut MPP, bantahan tersebut bukan ditujukan kepada objektif program yang mempromosikan keselamatan jalan raya dan kesedaran antidadah, sebaliknya terhadap lokasi serta masa penganjurannya.

“Bantahan ini bukan terhadap kewujudan Sabah MotoDay dan bukan terhadap matlamatnya mempromosikan keselamatan jalan raya serta kesedaran anti-dadah dalam kalangan belia. Bantahan ini adalah terhadap lokasi dan ketepatan masa penganjurannya,” menurut kenyataan MPP.

MPP turut mendakwa penganjuran terdahulu pernah dikaitkan dengan isu seperti gangguan seksual, pencemaran bunyi, pencemaran udara dan masalah kebersihan, selain berpandangan acara berskala besar itu lebih sesuai diadakan di lokasi lain seperti Stadium Likas atau kawasan khas untuk acara awam.

Sehubungan itu, MPP menggesa pihak pentadbiran universiti mengkaji semula keputusan membenarkan Sabah MotoDay diadakan di dalam kampus, di samping melibatkan mahasiswa secara lebih telus dalam sebarang keputusan berkaitan penggunaan ruang universiti bagi program pihak ketiga.