Lelaki Ditahan, Diesel Bersubsidi dan Pelbagai Peralatan Bernilai Lebih RM150,000 Dirampas di...

Lelaki Ditahan, Diesel Bersubsidi dan Pelbagai Peralatan Bernilai Lebih RM150,000 Dirampas di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan 2,775 liter diesel serta pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan lebih RM150,000 dalam satu serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Jalan Kobusak di sini, baru-baru ini.

Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 yang dijalankan kira-kira jam 2.30 petang itu dilaksana hasil kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sebuah stor dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah, sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, beberapa unit Intermediate Bulk Container (IBC Tank) serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan bahan api.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM158,826.75.

Sementara itu, PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan bahawa sepanjang tempoh Januari hingga 24 Jun 2026, pihaknya telah merekodkan 81 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah nilai rampasan mencecah RM22,788,200.83, selain menahan 75 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan barang kawalan.

Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di negeri ini.

PPM Wilayah 4 Sabah turut menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang kawalan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut diseru supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan serta melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat.