Sabah Perlu Intervensi Tangani Penghijrahan Pakar Perubatan

Sabah Perlu Intervensi Tangani Penghijrahan Pakar Perubatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa melaksanakan langkah intervensi khusus bagi menangani penghijrahan pakar perubatan dari sektor awam ke sektor swasta, ketika Sabah terus berdepan kekangan kapasiti penjagaan kesihatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, isu itu memerlukan pendekatan menyeluruh oleh Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk menangani punca utama seperti kebajikan, kemudahan dan insentif.

Kita berharap KKM dapat meneliti faktor yang menyumbang kepada penghijrahan ini dan melaksanakan intervensi khusus bagi mencegah atau mengurangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sabah Sihat 2.0 di gelanggang boling padang Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Menurutnya, Sabah telah lama berdepan kekurangan pakar perubatan dan ia bukan isu baharu, sebaliknya cabaran berterusan yang memerlukan tindakan segera.

“Bagi Sabah, ini bukan masalah baharu. Sudah tiba masanya kerajaan, khususnya KKM bersama kerajaan negeri, meneliti aspek kebajikan, kemudahan serta kemungkinan penambahbaikan dari segi gaji atau insentif,” katanya.

Walaupun berdepan kekangan, beliau berkata sistem kesihatan negeri masih berfungsi dengan usaha berterusan untuk menambah bilangan pakar.

Sementara itu, Program Sabah Sihat 2.0 yang dianjurkan bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat bagi mengurangkan tekanan jangka panjang terhadap sistem kesihatan, dengan pengisian seperti saringan kesihatan, pameran dan jualan Rahmah.

Program tersebut menarik kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Julita turut memaklumkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser dan penyakit pernafasan kronik di Sabah, sekali gus menuntut intervensi awal melalui perubahan gaya hidup.

Beliau menggesa orang ramai mengamalkan senaman berkala, pemakanan seimbang, saringan kesihatan berkala serta penjagaan kesihatan mental sebagai amalan harian, sambil menegaskan pencegahan adalah kunci dalam menangani cabaran kesihatan negeri.