TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20 tahun ditahan polis bersama sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah di Kampung Rancangan Kalabakan, baru-baru ini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Wilynton Enchana Watt, mangsa menyedari telefon bimbit miliknya hilang selepas menunaikan solat Subuh sebelum membuat semakan menggunakan aplikasi pengesanan yang mendapati peranti itu berada di kawasan Felda Kalabakan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan melancarkan serbuan di kawasan Kilang Sawit Felda Kalabakan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, selain merampas sebuah iPhone 13 Pro yang dipercayai merupakan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Wilynton berkata kejayaan itu membuktikan komitmen serta kecekapan Polis Daerah Tawau dalam bertindak pantas menyelesaikan kes jenayah harta benda.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan aspek keselamatan kediaman dengan memastikan pintu dan tingkap ditutup serta dikunci bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.






