Pelajar Sabah Alexa Validy Dinobatkan ‘Best Delegate’ WHO di AYIMUN Thailand

Pelajar Sabah Alexa Validy Dinobatkan ‘Best Delegate’ WHO di AYIMUN Thailand

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dari Sabah mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai “Best Delegate” pada persidangan Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 26 hingga 29 Jun (Jumaat–Isnin) lalu.

Alexa Elayndra Adrian Validy dari Sekolah Menengah Maktab Sabah menerima pengiktirafan tertinggi itu dalam Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus mengukuhkan pencapaiannya di peringkat antarabangsa.

“Saya mewakili majlis WHO dengan membawa isu pemeliharaan pengetahuan tradisional perubatan masyarakat pribumi sambil memastikan pengesahan secara saintifik.

“Saya berharap lebih ramai peserta dari Sabah akan menyertai program seperti ini dan suatu hari nanti Sabah mempunyai pasukan Model United Nations sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah “Best Delegate” merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada peserta berdasarkan prestasi dalam perbahasan, diplomasi, kepimpinan dan penggubalan dasar sepanjang persidangan.

Persidangan itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Selain trofi dan sijil, Alexa turut menerima biasiswa untuk menyertai pertandingan AYIMUN seterusnya di Bali tahun ini.

Pencapaian terbaharu itu merupakan anugerah keempat beliau dalam AYIMUN selepas sebelum ini meraih “Honourable Mention” dan “Best Position Paper” dalam edisi terdahulu.