Gangguan Sabah Smart Parking Masih Berlanjutan, Kerja Pemulihan Sistem Diteruskan

Gangguan Sabah Smart Parking Masih Berlanjutan, Kerja Pemulihan Sistem Diteruskan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perkhidmatan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) masih belum dapat digunakan apabila kerja-kerja pemulihan sistem terus dijalankan bagi memastikan operasi dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil.

Dalam makluman terkini yang dikeluarkan Sabah Smart Parking hari ini, pengguna dimaklumkan bahawa proses pemulihan sistem masih berlangsung dan semua perkhidmatan aplikasi belum dapat diakses buat masa ini.

“Kerja-kerja pemulihan sistem masih sedang dijalankan dan perkhidmatan aplikasi masih belum dapat digunakan buat masa ini. Pasukan kami sedang berusaha untuk memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil,” menurut kenyataan Sabah Smart Parking di Facebook.

Sabah Smart Parking turut memaklumkan bahawa perkembangan terkini mengenai status pemulihan sistem akan dikongsikan dari semasa ke semasa melalui saluran rasminya.

“Kami akan berkongsi perkembangan terkini melalui saluran ini. Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda,” menurut kenyataan itu lagi.

Kelmarin, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan gangguan sementara operasi aplikasi Sabah Smart Parking telah menjejaskan beberapa fungsi utama termasuk pembayaran caj parkir secara digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian pas parkir bulanan, tambah nilai kredit (top-up) serta akses kepada modul iBersih dan perkhidmatan lain.

DBKK turut memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh gangguan sistem itu, tindakan penguatkuasaan pengeluaran kompaun tidak akan dilaksanakan, bagi mengelakkan pengguna terjejas akibat masalah teknikal yang berlaku.

Pihak berkuasa tempatan itu sebelum ini memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan memaklumkan usaha sedang giat dilaksanakan bagi memulihkan operasi aplikasi secepat mungkin.