Tuduhan Terhadap Ketua Menteri Keterlaluan – Azrul Tegur Bahasa Kesat Hamdin

Tuduhan Terhadap Ketua Menteri Keterlaluan – Azrul Tegur Bahasa Kesat Hamdin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim menyifatkan hantaran dimuat naik aktivis Hamdin Nordin yang mengandungi kata-kata kesat dan menghina Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketelaluan.

Azrul menerusi kenyataan di Facebook hari ini berkata, Hajiji ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah dan semua pihak sewajarnya menghormati keadaan semasa serta mengelakkan penggunaan bahasa yang melampai semata-mata untuk meraih perhatian. 

“Tuduhan yang dilemparkan oleh saudara Hamdin agak keterlaluan. Ketua Menteri ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah, Jika sekalipun ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa. 

“Dalam menentukan sama ada seseorang individu dikenakan Notis Arahan Sabah (NAS), pihak bekruasa pastinya telah menjalankan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri.

“Kita perlu menghormati pihak berkuasa dan mengiktiraf hak serta kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan dan peruntukan berkaitan,” katanya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azrul berkata beliau sedang berkomunikasi dengan individu yang terlibat memandangkan beliau memahami keluarga individu berkenaan berada di Sabah.

“Apa pun, saya sedang berkomunikasi dengan individu terlibat memandangkan saya maklum keluarganya berada di Sabah,” katanya.

Kenyataan Azrul itu dibuat sebagai respons kepada hantaran Hamdin di Facebook yang mendakwa Hajiji bertanggungjawab terhadap tindakan menghalang kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar ke Sabah, selain menggunakan kata-kata menghina terhadap Ketua Menteri.

Antara kenyataan Hamdin yang berkaitan:

“Hajiji Haji Noor kamu harus berhenti melakukan tindakan bacul! Hentikan segera tekanan yang kamu lakukan terhadap Asraf Sharafi Mohammad Azhar”
“Asraf dihalang masuk ke Sabah atas arahan Ketua Menteri Sabah, Celaka hajiji.”

Hamdin mendakwa Asraf, yang merupakan suami kepada anak jati Sabah dan bapa kepada dua orang anak, dihalang memasuki Sabah selepas pulang dari Semenanjung Malaysia walaupun, menurutnya, tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Terdahulu, Bersih memaklumkan Pengarah Eksekutifnya, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, dihalang memasuki Sabah oleh pihak Imigresen Sabah kira-kira jam 7.30 malam kelmarin ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.