KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 25 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 tengah hari sebelum sepasukan 14 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.33 tengah hari dan segera menjalankan pengumpulan maklumat serta mendapatkan maklumat awal daripada pengadu dan penduduk setempat bagi menilai situasi sebelum operasi mencari dan menyelamat dimulakan.
“Operasi pencarian awal dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue dengan menyusuri tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu yang dianggotai lima anggota tiba di lokasi pada jam 4.30 petang bagi membantu operasi.
Katanya, selaman pertama dilakukan di kawasan mangsa kali terakhir dilihat, manakala radius pencarian diperluaskan sehingga 500 meter di sekitar lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang, mangsa, Wan Niezam masih belum ditemui. Operasi akan disambung semula dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).






