Lelaki Maut Tersepit, Viva Dipandu Bertembung Alza di Jalan UMS

Lelaki Maut Tersepit, Viva Dipandu Bertembung Alza di Jalan UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas tersepit dalam Perodua Viva yang dipandunya selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza dalam kemalangan di Jalan UMS berhadapan Alamesra, Sepanggar, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.34 pagi.

Susulan itu, sepasukan 10 anggota dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Viva dan Perodua Alza yang bertembung sebelum kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Viva menggunakan peralatan khas menyelamat (rescue tools),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu Perodua Alza, seorang lelaki berusia 57 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.55 pagi selepas keadaan disahkan selamat.