Himpunan ‘Gempur Rasuah 3.0’ di Kota Kinabalu hambar, hanya disertai 20 peserta

Himpunan ‘Gempur Rasuah 3.0’ di Kota Kinabalu hambar, hanya disertai 20 peserta

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hampir 20 peserta sahaja yang menyertai perhimpunan aman ‘Gempur Rasuah 3.0’ yang diadakan di hadapan kompleks beli-belah Suria Sabah di sini, pada Sabtu.

​Tinjauan mendapati suasana perhimpunan tersebut agak hambar dan sepi ekoran kehadiran fizikal yang terlalu sedikit, meskipun sorakan penceramah dan paluan dram kedengaran membara dalam menyatakan ketegasan mereka menolak gejala korupsi di negeri ini.

​Penganjur yang bergerak atas kapasiti Suara Mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagaimanapun menegaskan bahawa gerakan mereka tidak didanai oleh mana-mana parti politik atau ahli politik.

Mereka kemudiannya berarak dari perkarangan Suria Sabah menuju ke Dataran Todak Waterfront.

​Jurucakap perhimpunan yang juga Presiden Suara Mahasiswa, Fida Fahmi berkata, perhimpunan kali ini membawa empat tuntutan utama demi membersihkan Sabah dan Malaysia daripada budaya rasuah.

“Kami menuntut pihak berkuasa menyegerakan proses pendakwaan terhadap 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terpalit dengan skandal rasuah.

“Kami mendesak agar Akta Pendanaan Politik yang menjadi sebahagian daripada manifesto kerajaan disegerakan dan dilaksanakan demi ketelusan dana politik.

“Kami menuntut pembatalan budaya pemberian projek atau tender kepada ahli keluarga dan kroni yang didakwa menjadi punca ramai anak muda serta alumni universiti di Sabah menganggur.

“Kami mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’ dan campur tangan ‘tangan ghaib’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media hari ini.

​Ketika ditanya mengenai jumlah kehadiran yang sangat rendah berbanding jangkaan awal, pihak penganjur menyatakan mereka tidak menetapkan sebarang sasaran angka yang spesifik untuk perhimpunan kali ini.

​”Kami tidak meletakkan anggaran (peserta). Kami hanya mengharapkan masyarakat turun bersama.

​”Kami percaya solidariti ini bukan sahaja berlaku di jalan raya, tetapi masyarakat akan turut bersama memberikan sokongan secara maya,” katanya.